Greenpeace dakwa Itali abai pengeksportan sisa plastik bahaya ke Malaysia

Greenpeace dakwa Itali abai pengeksportan sisa plastik bahaya ke Malaysia

Kumpulan pencinta alam antarabangsa itu berkata, hampir 3,000 tan sisa plastik dari Itali tidak dikitar semula dan bertimbun di tanah terbuka dan lombong yang menyebabkan pencemaran.

Siasatan Greenpeace mendapati kira-kira 2,880 tan plastik dieksport ke Malaysia dengan hampir separuh daripadanya dihantar ke kilang haram yang tidak mampu menguruskan sisa itu dalam 9 bulan pertama 2019.
PETALING JAYA:
Greenpeace mendakwa Itali menghantar sisa plastik berbahaya ke Malaysia yang kebanyakannya bertimbun di luar kilang kitar semula haram atau lombong yang menyebabkan pencemaran, lapor akhbar Britain, The Guardian.

Kumpulan pencinta alam itu berkata, hasil pengintipan mereka mendapati pihak berkuasa tidak memeriksa kontena yang keluar dari bandar di Itali dan bukti sisa buangan dari negara itu yang disimpan di kilang haram di Malaysia yang mencemarkan air dan tanah di kampung sekitarnya.

“Kerajaan (Itali) tidak boleh berpura-pura tiada apa yang berlaku secara haram – ia perlu campur tangan,” kata Giuseppe Ungherese yang mengetuai kempen pencemaran Greenpeace Itali.

“Kami tahu hanya sebilangan kecil kontena yang meninggalkan pelabuhan Itali diperiksa dengan teliti. Negara bertamadun tidak boleh menutup mata dan membuang masalah itu ke negara kurang maju – ia seperti membersihkan rumah, tetapi menyembunyikan habuk di bawah permaidani.”

Greenpeace menyerahkan hasil siasatannya kepada pendakwa raya Itali.

Itali seperti negara Eropah besar yang lain tidak mempunyai prosedur menguruskan sisa plastik, oleh itu ia mengeksportnya.

Di bawah undang-undang Kesatuan Eropah, negara anggotanya hanya boleh mengeksport sisa plastik kitar semula, manakala syarikat kitar semula perlu mematuhi piawaian alam sekitar dan teknikal.

Siasatan Greenpeace mendapati kira-kira 2,880 tan plastik dieksport ke Malaysia dengan hampir separuh daripadanya ke kilang haram yang tidak mampu menguruskan sisa itu dalam 9 bulan pertama tahun lalu.

Katanya, sisa plastik yang tidak dikitar semula itu disimpan di luar kilang itu, dibakar atau ditanam di tapak pelupusan sampah.

Kumpulan itu berkata, sampel air dan tanah berhampiran timbunan sisa plastik itu menunjukkan “tahap pencemaran membimbangkan” dengan peningkatan dalam penyakit berkaitan pernafasan di kampung berhampiran.

Malaysia menjadi destinasi pilihan pembuangan sisa plastik dari negara maju, susulan pengharaman China ke atas import mereka pada Januari 2018.

Putrajaya mengkritik kilang kitar semula haram yang mengimport sisa plastik dan baru-baru ini memulangkan 150 kontena dipenuhi plastik ke UK, Perancis, Amerika Syarikat serta Kanada.

Tetapi, Greenpeace berkata, pengimport menggunakan broker di Hong Kong untuk mengatur penghantaran ke Malaysia.

“Penghantaran itu menjadi sah melalui perantaraan Hong Kong, manakala kontena dari Itali pula dihantar terus ke Malaysia. Mungkin pengeksport Itali yang tahu mengenai serbuan di Malaysia, memindahkan risikonya.

“Mereka hanya membuat kertas kerja,” kata wartawan Greenpeace, Pierdavide Pasotti yang dipetik The Guardian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.