Raja Abdullah janji ‘derma’ bantu Najib menang PRU 2013, kata bekas duta

Raja Abdullah janji ‘derma’ bantu Najib menang PRU 2013, kata bekas duta

Syed Omar Al-Saggaf memberitahu Mahkamah Tinggi, Najib Razak memberitahunya Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud berjanji memberikan sumbangan untuk kegunaan PRU.

Najib Razak didakwa menerima AS$681 juta, tetapi memulangkan AS$620 juta selepas PRU 2013.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas duta hari ini memberitahu perbicaraan rasuah Najib Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi menawarkan bantuan kewangan untuk membantu bekas perdana itu memenangi pilihan raya umum pada 2013.

Bekas duta Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar Al-Saggaf berkata, beliau difahamkan Raja Abdullah berjanji memberikan sumbangan itu dalam satu mesyuarat tidak rasmi antara delegasi diketuai Najib dan pemerintah Riyadh itu.

Katanya, mesyuarat itu diadakan pada 11 Jan 2010 di Riyadh, Arab Saudi.

Ketika membaca pernyataan saksinya, Syed Omar yang merupakan saksi pembelaan ke-4, berkata mesyuarat tidak rasmi itu diadakan sebelum lawatan rasmi Najib ke Saudi mulai 13 hingga 16 Jan tahun sama.

Katanya, pada akhir perbincangan itu, beliau ternampak Raja Abdullah, Najib dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Jamil Khir Baharom berjalan ke tengah dewan mesyuarat.

“Mereka dilihat sedang membincangkan sesuatu. Selepas mesyuarat itu (11 Jan) tamat, saya difahamkan Raja Abdullah menawarkan bantuan dalam bentuk dana yang akan dihantar untuk kegunaan Najib pada PRU.”

Syed Omar yang merupakan duta di negara itu selama 10 tahun sehingga 2018, berkata beliau ingat Raja Abdullah pernah memuji Najib atas caranya mentadbir masyarakat berbilang agama yang majoritinya ialah umat Islam, dalam ucapan pembukaan mesyuarat itu.

Katanya, kerajaan Saudi turut menyuarakan kebimbangan berhubung perkembangan pergolakan politik di negara Islam yang akhirnya mencetuskan “Arab Spring”.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah bekas menteri luar, Anifah Aman yang dijadualkan memberi keterangan bagi pihak Najib dalam perbicaraan ini.

Saksi itu ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram, berkata beliau sendiri tidak tahu mengenai sumbangan itu dan tujuannya.

“Ini ialah apa yang Najib beritahu saya selepas mesyuarat itu.”

Sithambaram: Saya katakan sumbangan yang didakwa diberikan kepada Najib itu ialah campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia.

Syed Omar: Saya tidak tahu.

Sithambaram: Adakah anda dengar daripada Raja Abdullah sendiri yang beliau memberikan wang itu untuk PRU 2013?

Syed Omar: Tidak.

Sithambaram: Adakah anda jangka Raja Abdullah akan memenuhi janjinya untuk memberikan sumbangan?

Syed Omar: Setahu saya, beliau mengotakan semua janjinya.

Sithambaram: Adakah anda menjangkakan sumbangan itu akan dipulangkan kepada Raja Abdullah?

Syed Omar: Setakat ini, saya tidak dengar sumbangan itu dipulangkan.

Sithambaram berkata, bukti menunjukkan pada 2011, Najib menerima hampir AS$100 juta daripada Putera Faisal dan Kementerian Kewangan di Riyadh, serta pada 2012, beliau menerima tambahan AS$270 juta daripada Putera Faisal dan Blackstone Asia Real Estate Partners.

Pada 2013, beliau didakwa menerima AS$681 juta, tetapi memulangkan AS$620 juta selepas PRU tahun itu.

Sithambaram berkata, Najib dijadualkan menerima £50 juta daripada kerabat diraja Saudi, tetapi hanya mendapat £10 juta pada 2014.

Katanya, satu daripada 6 transaksi £10 juta itu diterima dalam bentuk pinjaman.

Syed Omar berkata, beliau akan terkejut jika sumbangan itu diberikan dalam bentuk pinjaman.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau turut berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pertuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaunnya.

Pihak pendakwaan berkata, Najib tahu RM42 juta itu datang daripada SRC International, di mana RM32 juta digunakan untuk membayar Putra Perdana Construction Sdn Bhd dan Permai Binaraya Sdn Bhd pada Disember 2014.

Sebanyak RM10 juta lagi yang dimasukkan ke akaunnya pada Februari 2015 digunakan untuk membayar individu dan parti politik.

Pihak pembelaan berkata, RM42 juta ialah sebahagian daripada sumbangan Arab dan pegawai perbankan yang bekerjasama dengan ahli perniagaan Low Taek Jho untuk memanipulasi akaunnya.

Perbicaraan disambung di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.