
Beliau berkata perjuangan untuk Palestin tidak terhad kepada individu sebaliknya mahu suara rakyat didengar.
“Kita akan teruskan berjuang dan tidak ada bezanya sama ada Trump atau orang lain.
“Tiada sesiapa pun yang boleh ditindas dan dizalimi,” katanya ketika ditanya jika Trump menang pada Nov ini akan menyukarkan penentangan pelan damai Timur Tengah yang dikenali sebagai “Deal of the Century”.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan kali ke-3, Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds, di sebuah hotel, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendesak Trump meletakkan jawatan susulan keputusannya mengumumkan pelan damai Timur Tengah.
Mahathir berkata, keputusan Trump melaksanakan pelan damai Palestin-Israel adalah tidak adil kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di rantau itu yang ketika ini turut dibantah berbilion orang di dunia.
Trump kini rancak dalam usahanya berkempen bagi pilihan raya presiden yang pada 3 Nov 2020.
Syed Ibrahim menambah, beliau mahu kesepakatan dalam kalangan ahli Parlimen seluruh dunia untuk melihat apa yang berlaku di Palestin.
Beliau berkata apa dicadangkan sebagai pelan damai Palestin-Israel perlu diteliti dari segi keselamatan, keamanan, keadilan dan aspek kemanusiaan.
“Perkara ini prinsip sejagat dan sepatutnya jadi pegangan semua ahli Parlimen seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan negara lain.
“Ringkasnya, apa kita mahukan ialah satu suara yang mewakili seluruh rakyat seluruh negara. Ahli-ahli Parlimen mewakili rakyat,” katanya.
Beliau juga merayu hati nurani agar ahli Parlimen tidak lagi melihat Palestin ditindas dan dizalimi.
“Amanah dan tanggungjawab perlu khidmat untuk keadilan, keamanan dan kedaulatan negara.
“Kita juga mahu Palestin merasainya setelah 7 dekad. Ini peluang terbaik satukan kita dan kita zahirkan dalam sidang kali ini,” katanya.