Singapura kurang kadar tol di Woodlands, Tuas bermula 2 Mac

Singapura kurang kadar tol di Woodlands, Tuas bermula 2 Mac

Ini berikutan pengurangan kadar tol untuk kereta, bus dan teksi di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang pada 2 Feb lepas.

Di pusat pemeriksaan Woodlands, kadar tol untuk kereta dan bas akan dikurangkan masing-masing sebanyak S$0.20 kepada S$0.80 dan S$0.60, manakala teksi sebanyak S$0.10 kepada S$0.40. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Mulai 2 Mac, Singapura akan mengurangkan kadar tol bagi kereta, bas dan teksi di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas, menurut pihak berkuasa pengangkutan darat (LTA).

“Ini berikutan pengurangan kadar tol untuk kereta, bus dan teksi di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (LinKedua) 2 Feb, 2020,” menurut laman web LTA.

Di pusat pemeriksaan Woodlands, kadar tol untuk kereta dan bas akan dikurangkan masing-masing sebanyak S$0.20 kepada S$0.80 dan S$0.60, manakala teksi sebanyak S$0.10 kepada S$0.40.

Sementara itu, di pusat pemeriksaan Tuas, kadar tol akan dikurangkan sebanyak S$ 0.40 kepada S$ 2.10 untuk kereta, teksi (S$0.30 kepada S$1.60) dan bas ($0.50 kepada S$2.50), ketika waktu puncak.

Di luar waktu puncak, kadar tol untuk kereta akan dikurangkan sebanyak S$0.20 kepada S$1.10, teksi (S$0.20 kepada S$0.80) dan bas (S$0.30 kepada S$ 1.20).

LTA berkata, ia juga akan melancarkan perkhidmatan digital baru bagi membolehkan pemilik kenderaan awam, iaitu bas dan teksi yang didaftarkan di negara Asean membuat permohonan permit kenderaan perkhidmatan awam Asean melalui laman web OneMotoring mulai 10 Feb.

Pihak berkuasa itu berkata, permohonan itu mesti dikemukakan sekurang-kurangnya 7 hari bekerja sebelum memasuki Singapura.

“Inisiatif ini akan memudahkan pemilik kenderaan dan menambahkan rangkaian perkhidmatan digital sedia ada untuk kenderaan pendaftaran asing,” katanya.

Ia adalah permohonan VEP/ Kad Autopass dalam talian untuk kereta dan motosikal pendaftaran asing; permohonan dalam talian permit kenderaan barangan /kad Autopass untuk kenderaan barangan pendaftaran Asean; dan mengemas kini rekod kenderaan untuk kereta dan motosikal pendaftaran asing dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.