
Beliau yang juga ahli Parlimen Ledang berharap satu sesi perbahasan khas akan diberikan kepada wakil kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan perkara itu.
“Saya sendiri akan bawa usul ini dan berharap akan disokong oleh ahli Parlimen, tak kira pembangkang atau kerajaan.
“Ini supaya ia sampai ke peringkat dunia dan Malaysia dilihat lantang, bukan sahaja perdana menteri, tetapi di peringkat Parlimen,” katanya ketika ditemui pada Persidangan kali ke-3, Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendesak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meletakkan jawatan susulan keputusannya mengumumkan “pelan damai” Timur Tengah yang dikenali sebagai “Deal of the Century”.
Mahathir berkata, keputusan Trump untuk melaksanakan ‘pelan damai’ Palestin-Israel itu adalah tidak adil dan hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di rantau itu yang ketika ini turut dibantah berbilion orang di dunia.
Pada Januari lepas, Trump mengumumkan pelan yang digembar-gemburkan dapat menamatkan perseteruan Israel-Palestin pada satu sidang akhbar di Rumah Putih bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Bagaimanapun, tidak ada wakil Palestin hadir ketika pengumuman itu dibuat, yang menyaksikan Trump turut merujuk Baitulmaqdis sebagai ibu negara tunggal Israel.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, melalui perbahasan di Parlimen, beliau mahu tindakan dan strategi tertentu bagi menangani isu tersebut diambil di pihak Dewan Rakyat.
Beliau berkata, dalam persidangan Liga Ahli Parlimen kali ini, ramai pemikir dalam kalangan ahli Parlimen mahu bawa usul sama ke Parlimen negara masing-masing.
“Tetapi saya harap bawa ke Dewan Rakyat dan dapat liputan lebih baik.
“Pada masa sama ada ruang untuk ahli Parlimen bercakap. Mudah sahaja kita bagi ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Syed Ibrahim juga percaya ahli Parlimen pasti menolak pelan damai Timur Tengah seperti dicadangkan oleh Trump.
Beliau berkata, dalam isu “Deal of the Century” itu wujud peluang besar bagi semua pihak di negara ini bekerjasama.
“Saya rasa satu kuasa kesepakatan boleh ditimbulkan. Semua menolak. Kita dah jelas sekarang. Malaysia jelas menolak.
Syed Ibrahim berkata, ahli Parlimen boleh mempunyai sikap yang berbeza dengan kerajaan.
Katanya, ahli Parlimen bukan kerajaan dan bebas kerana mereka mewakili rakyat.
“Jadi mereka mewakili suara rakyat. Kalau boleh mainkan peranan itu dengan baik, maknanya tidak terhad atau tertakluk kepada polisi atau dasar kerajaan.