Laporan: Misi baru cari MH370 mungkin dilancar

Laporan: Misi baru cari MH370 mungkin dilancar

Laporan Mail Online menyebut 32 serpihan, dipercayai daripada MH370, ditemui dan serpihan terakhir dipercayai merupakan sirip dalaman sebuah penjana vorteks.

Penerbangan MH370 hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan 239 penumpang dan anak kapal.
PETALING JAYA:
Misi baru mencari bangkai pesawat Penerbangan Malaysia MH370, yang terhempas 6 tahun lepas, mungkin dilancar dalam beberapa bulan lagi, kata laporan.

Portal berita Britain Mail Online berkata, saudara mara mangsa dan kerajaan Malaysia merancang menghantar syarikat pencari dasar laut Ocean Infinity untuk mengesan pesawat Boeing 777, yang hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan 239 penumpang dan anak kapal.

Memetik laporan News Corp Australia, ia berkata, pegawai berharap serpihan dan analisis baru akan memberi gambaran lebih jelas mengenai keutamaan carian.

Laporan itu menyebut 32 serpihan, yang dipercayai daripada MH370, telah ditemui dan serpihan terakhir dipercayai merupakan sirip dalaman sebuah penjana vorteks.

Jika ia merupakan sirip MH370, ia dapat menentukan bahawa enjin pesawat terbabit hancur ketika terhempas, yang bermakna ia tidak berada dalam keadaan dikawal apabila jatuh, kata laporan itu.

Ia berkata, ini menyokong teori bahawa pesawat berkenaan terhempas teruk, tetapi ujian ke atas 2 serpihan terakhir itu tertangguh selama 2 tahun dan tidak diumumkan lagi.

Mail Online memetik laporan News Corp yang menyebut bahawa peguam dari Malaysia Grace Subthirai Nathan, yang kehilangan ibunya dalam penerbangan itu berkata, desakan supaya dimulakan carian baru dibuat “secara senyap-senyap dan peribadi”.

“Kami berjaya menggerakkan usaha tersebut supaya pengumuman mengenainya boleh dibuat (tahun ini),” kata Grace menurut laporan itu.

“Kementerian Pengangkutan bersedia menyemak cadangan itu. Kami mahu memastikan cadangan itu kukuh dan tidak ditolak atas sebab-sebab yang kabur, jadi kami berusaha secara senyap-senyap dengan pihak terbabit bagi memastikan ia berhasil.”

Ketua pegawai eksekutif Ocean Infinity Oliver Phukett berkata, kerajaan Malaysia hanya menerima cadangan carian baru berdasarkan prinsip “tiada dapatan tiada bayaran”, kata laporan itu lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.