
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini berikutan tindakan pihak berkuasa di China, termasuk pihak berkuasa tempatan yang membuat sekatan pergerakan keluar dan masuk terhadap wilayah Zhejiang melibatkan 5 bandar dan wilayah Jiangsu (2 bandar).
“Selaras dengan keputusan pada 27 Jan lalu, iaitu sekatan perjalanan akan dikuatkuasakan mengikut wilayah yang dikenakan sekatan pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China, maka diputuskan sekatan perjalanan yang sebelum ini dikenakan ke atas pelawat China dari wilayah Hubei akan diperluaskan terhadap 2 lagi wilayah berkenaan berkuat kuasa serta merta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof.
Kerajaan pada 27 Jan lepas menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekelilingnya.
Pada masa yang sama, Wan Azizah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperketatkan lagi syarat sekatan untuk memastikan semua pelancong tanpa mengira kerakyatan yang pernah mengunjungi atau berada di 3 wilayah terlibat supaya tidak memasuki negara ini dalam tempoh 14 hari selepas itu.
Sementara itu di Kulai, Johor, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, semua guru dan pelajar yang baru pulang dari China perlu menjalani proses kuarantin di kediaman sendiri selama 14 hari sebagai usaha mengekang penyebaran jangkitan koronavirus 2019 .
“Guru dan murid yang pernah pergi ke China baru-baru ini sama ada mereka pergi semasa cuti atau lawatan, mereka ini perlu dikuarantin di rumah.
“Apabila balik dari negara terbabit, saringan kesihatan perlu dilakukan… walaupun mereka tidak mengalami sebarang simptom, mereka perlu lalui pemantauan di rumah sepanjang 14 hari dan mereka tidak boleh ke sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan satu acara di sini hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar dari negara tersebut di semua institusi pendidikan di Malaysia ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif koronavirus di negara ini adalah sebanyak 16 orang, iaitu 12 warga China dan 4 rakyat tempatan.