
Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang menerima secara terbuka akan nilai kepelbagaian kaum dalam mewujudkan budaya yang mengagumkan, kepelbagaian bangsa dan agama yang hidup dengan rukun damai dan harmoni secara bersama.
Jadi tidak hairanlah bangsa Melayu, Cina dan India dapat meraikan apa jua perayaan tanpa sebarang rasa gusar malah ia disambut dengan meriah sekali.
Dan salah satunya Thaipusam iaitu perayaan agama yang paling popular dalam kalangan mereka yang beragama Hindu.
Perayaan ini merupakan suatu perayaan yang berpusatkan kuil-kuil Dewa Muruga atau Dewa Subramaniam.
Perkataan “Thaipusam” adalah gabungan nama “Thai”, salah satu bulan lunar dalam kalendar Tamil, dan “Pusam”, nama untuk buruj yang terbentuk daripada tiga bintang individu.
Perayaan Thaipusam disambut pada malam hari bulan purnama, iaitu dalam bulan Thai iaitu kira-kira pada bulan Januari ataupun Februari dalam kalendar Gregorian barat.

Menurut astrologi India, pada masa ini setiap tahun, buruj Pusam berada pada kedudukan yang tertinggi.
Bagi penganut yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.
Sebelum menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan membersihkan jiwa.
Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil.

24 jam sebelum menyambut Thaipusam, mereka akan berpuasa sepenuhnya.
Masyarakat yang beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu.
Kuil-kuil lain di mana Thaipusam disambut dengan hebat termasuk Kuil Arulmigu Balathandayuthapani (juga dikenali sebagai Kuil Waterfall Hill) di Pulau Pinang dan Kuil Arulmigu Subramaniyar Kallumalai di Ipoh, Perak.
Pada hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi.

Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa “kavadi”, iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu.
Ini adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.
Bagi sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri.
Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa “kavadi”.
Biasanya, pembawa “kavadi” ini berada dalam keadaan terpukau sambil mengikut irama dan rentak Thavil vadhyam dan nadaswaram (genre muzik India).
Di Malaysia, pembawa “kavadi” ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa.
Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu dan susu untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]