
Angkasawan Amerika Syarikat (AS), Christina Koch, pulang ke bumi selepas memecah rekod sebagai angkasawan wanita pertama yang menghabiskan hampir setahun di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Kakitangan NASA itu dijangka mendarat di Kazakhstan bersama rakannya, Luca Parmitano, dari Agensi Angkasa Eropah dan Alexander Skvortsov, dari Russia, selepas 328 hari berada di ruang angkasa.
Tidak seperti Koch yang menghabiskan masa hampir setahun di ISS, Parmitano dan Skvortsov menamatkan misi enam bulan iaitu tempoh biasa penggiliran angkasawan.
Angkasawan yang juga jurutera berusia 41 tahun berasal dari Michigan itu berjaya memecah rekod yang sebelum ini dipegang oleh angkasawan veteran, Peggy Whitson, yang berada di ruang angkasa selama 289 hari.
Koch sebelum ini melakar sejarah apabila melakukan perjalanan di ruang angkasa bersama seorang lagi kakitangan NASA, Jessica Meir, pada Oktober lalu.
Ketika ditanya NBC mengenai perjalanan pulang ke bumi yang akan memakan masa sehingga 3 setengah jam, Koch menyatakan dia “merindui mikrograviti’”.
“Amat menyeronokkan berada di ruang angkasa di mana pada bila-bila masa saja anda boleh melompat antara siling dan lantai,” katanya sambil tersenyum sebelum memusingkan badannya di sekitar ISS.
Mengenai Whitson pula, Koch menyifatkan wanita itu sebagai “wira” dan “seorang mentor” dalam program angkasa selepas berjaya memecah rekod yang dipegang angkasawan berusia 59 tahun itu.
Koch turut menyatakan hasratnya untuk memberi inspirasi kepada generasi peneroka masa depan.
Angkasawan wanita pertama ialah warga Russia, Valentina Tereshkova, yang penerbangan solonya pada 963 kekal sehingga hari ini sebagai rekod misi solo pertama oleh seorang wanita.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]