Wakil rakyat DAP bidas Lynas ugut saman pengkritik

Wakil rakyat DAP bidas Lynas ugut saman pengkritik

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack berkata rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bimbang dengan cara Lynas akan menguruskan sisanya.

Wong Tack menggesa kerajaan menolak permohonan pembaharuan lesen Lynas pada Mac nanti.
PETALING JAYA:
Wakil rakyat DAP, Wong Tack hari ini membidas tindakan Lynas Malaysia mengugut untuk mengheret individu yang membuat kenyataan palsu mengenai kemudahan pelupusan kekal (PDF) di Kuantan.

Ahli Parlimen Bentong yang lantang mengkritik loji pemprosesan nadir bumi itu, berkata rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bimbang dengan cara Lynas akan menguruskan sisanya.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya ancaman Lynas untuk menyaman rakyat Malaysia yang berani tampil menyuarakan kebimbangan mereka berhubung tapak yang dipilih untuk dijadikan PDF Lynas.

“Saya menggesa semua rakyat Malaysia bersatu menentang tindakan berterusan membuli orang kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Lynas – yang menafikan Bukit Ketam ialah kawasan tadahan air – berkata pengkritik membuat “kenyataan jahil dan mengelirukan” mengenai kesan Bukit Ketam ke atas bekalan air Kuantan.

Katanya, ia tidak tergesa-gesa mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang “memfitnah orang dan syarikat kami secara berterusan”.

Wong Tack berkata, di mana-mana negara bertanggungjawab wajib menangani kebimbangan ini di peringkat awal permohonan lesen oleh syarikat seperti Lynas.

Beliau menggesa Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menolak permohonan pembaharuan lesen Lynas pada Mac nanti.

Pada 15 Ogos lalu, Putrajaya bersetuju memperbaharui lesen Lynas beroperasi di negara ini selama 6 bulan dengan beberapa syarat, termasuk mengenal pasti tapak PDF dalam 6 bulan atau mendapatkan kebenaran pihak berkuasa di negara lain untuk mengeksport sisa buangan ke sana.

Wong Tack berkata, keputusan kementerian sama ada melanjutkan lesen operasi Lynas tidak patut dibuat berdasarkan manfaat kepada industri itu.

“Ia harus berdasarkan apa yang baik untuk kesejahteraan rakyat dan alam sekitar kita. Ia patut berdasarkan kedaulatan undang-undang dan keadilan.”

Lynas terpalit kontroversi selama beberapa tahun dengan pencinta alam sekitar dan sesetengah ahli politik Pakatan Harapan membantah lojinya di Gebeng, Kuantan atas alasan kesihatan dan menggesa Putrajaya menutupnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.