
Felo penyelidik di Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia Fatimah Mohamed Arshad berkata, 63.6% pasaran padi dan beras berada di bawah kawalan Bernas.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata, Bernas dan sekutunya mewakili 48% daripada jumlah padi yang dikilang, yang merupakan 33.6% permintaan beras di Malaysia dan merupakan pengimport tunggal 30% daripada keperluan beras negara.
Fatimah dan rakan penyelidiknya Yeong Sheng Tey menulis satu kertas kajian mengenai monopoli Bernas yang hampir menyeluruh itu.
Beliau berkata, sebagai pengimport tunggal, Bernas boleh mengenakan polisi seperti terma kredit singkat ke atas syarikat yang bergantung pada beras yang diimport.
Katanya, Bernas juga menikmati monopoli ke atas simpanan beras, iaitu tugas yang diberikan oleh kerajaan atas nama keselamatan makanan. Simpanan yang diuruskan oleh Bernas hanya diagihkan pada waktu darurat kebangsaan.
Persatuan Pengeluar Vermicelli Malaysia menyuarakan kebimbangan bahawa Bernas juga mempunyai monopoli ke atas beras hancur yang digunakan untuk membuat bihun halus.
Fatimah berkata, pengeluar di bawah payung Bernas boleh menjual bihun mereka pada harga lebih rendah berbanding harga pesaing kerana mereka mendapat kelebihan membeli beras hancur pada harga lebih rendah.
Beliau berkata, ini menyebabkan berlakunya peningkatan dalam pengeluaran bihun oleh Bernas dan sekutunya mengakibatkan pengeluar lain terpaksa gulung tikar.
“Jika persaingan berat sebelah ini berterusan, bihun akan menjadi satu lagi pasaran monopoli Bernas.”

Fatimah berkata, Malaysia belum bersedia untuk menerima pasaran terbuka sepenuhnya, tetapi pada masa sama kerajaan perlu mula membenarkan persaingan dalam bidang pengimportan beras.
Katanya, ini akan meminimumkan kolusi antara Bernas dan sekutunya, seperti mengadakan usaha sama bagi pemerolehan padi dan beras.
“Tingkah laku ini membunuh persaingan, memperkuat kuasa pasaran Bernas dan menambah halangan masuk ke dalam perniagaan beras. Ini terbukti melalui ketidakwujudan usahawan kecil dan sederhana berasaskan padi dan beras.
Fatimah berkata, wujud jurang kekayaan yang besar antara pesawah padi dengan Bernas, pengilang besar dan pemborong.
Beliau berkata, kira-kira 90% pesawah padi tergolong dalam kelompok B40.
Katanya, petani perlu diberikan sokongan dan insentif untuk terlibat dalam aktiviti nilai tambah tinggi bagi menambah pendapatan mereka, sekali gus membasmi monopoli dan kegiatan kolusi.
Pakar ekonomi dari Universiti Tun Razak, Barjoyai Bardai bersetuju bahawa pengimportan beras perlu dibuka kepada persaingan.
Beliau berkata, kerajaan harus mengambil alih tanggunjawab sosial seperti simpanan beras dan pembelian padi pesawah pada harga jaminan daripada Bernas kerana ia tidak mapan bagi syarikat itu untuk terus berbuat demikian apabila ia kini merupakan entiti persendirian.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, pada 1998 kerajaan bercadang untuk membatalkan monopoli 30% Bernas ke atas bekalan beras negara.