Rakaman audio: Polis tunggu Najib, Rosmah beri keterangan

Rakaman audio: Polis tunggu Najib, Rosmah beri keterangan

Pada 8 Jan, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
MELAKA:
Polis berusaha mempercepat proses siasatan berhubung pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan 3 individu berprofil tinggi, namun individu terbabit tidak dapat hadir memberi keterangan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata proses memanggil bekas perdana menteri Najib Razak, isteri Rosmah Mansor dan bekas ketua pesuruhjaya Dzulkifli Ahmad masih berjalan bagi memberi keterangan berhubung pendedahan audio oleh SPRM itu bulan lepas.

Individu terbabit katanya, memberi alasan antaranya sakit dan berdepan dengan proses mahkamah.

“Mereka ada urusan lain yang diberikan, alasan urusan mahkamah ke atau tidak sihat, jadi mungkin mereka diberikan tarikh tertentu. Kita kalau boleh nak cepat, tetapi kalau mereka berikan alasan munasabah, contohnya sakit atau terikat dengan proses mahkamah, tidak dapat (beri keterangan).

“Sekiranya tidak, kita akan paksa mereka datang dengan mengikut prosedur undang-undang, kita akan keluarkan perintah untuk mereka tampil datang,” katanya kepada pemberita selepas selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Melaka Siri 1/2020 di sini, semalam.

Beliau berkata pegawainya berusaha melengkapkan dan menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara, namun beliau tidak dapat memberikan tarikh menyelesaikan siasatan itu berikutan individu terbabit tidak dapat hadir bagi memberi keterangan.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan Rosmah, Dzulkifli, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.