
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kebajikan pencarum serta saranan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran sejajar prinsip perlindungan sosial serta kemampanan dana itu untuk masa depan.
“Walaupun arahan tersebut masih membolehkan sebilangan besar pencarum Perkeso terus menikmati kemudahan dialisis, akan terdapat sebahagian pencarum yang tidak memenuhi kelayakan ditetapkan.
“Perkara ini pastinya akan membebankan pesakit buah pinggang, apatah lagi pembiayaan bagi rawatan dialisis adalah terhad ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkeso berkata, semua pencarum yang layak, termasuk penerima Skim Bantuan Ilat kini boleh menerima rawatan dialisis secara percuma seperti dahulu.
“Melalui Arahan AKSP Bil 1/2020 yang berkuat kuasa pada 10 Jan lalu, kemudahan dialisis perlu mengikut syarat baru kelayakan caruman yang ditetapkan.”
Di bawah syarat baru yang dikuatkuasakan sejak 10 Jan lalu, kelayakan pemohon untuk mendapat rawatan dialisis percuma terikat kepada tempoh dan jumlah caruman mereka kepada Perkeso.
Bulan lalu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon menggesa Perkeso menarik balik syarat baru itu yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Katanya, golongan paling terjejas ialah pemohon baru di bawah Skim Bantuan Ilat yang langsung tidak akan mendapat rawatan dialisis percuma kerana tidak memenuhi syarat minimum baru.
Hari ini, MTUC menyambut baik keputusan Perkeso menarik balik syarat baru itu.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa bangkit menyuarakan suara pekerja terhadap Arahan AKSP Bil 1/2020 yang berkuat kuasa 10 Jan lalu.
“Perkeso perlu menyediakan kemudahan asas dan prinsip utamanya adalah membantu setiap pencarum. Solidariti merupakan nilai utama dalam memberikan perlindungan sosial.
“Pengurusan Perkeso perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan dan tidak boleh lari daripada prinsip ini. Segala ketidakadilan yang berlaku sebelum ini tidak seharusnya berulang,” kata J Solomon.