Jangan layan Sarawak seperti koloni, Putrajaya diberitahu

Jangan layan Sarawak seperti koloni, Putrajaya diberitahu

Lukanisman mengingatkan Putrajaya bahawa kegagalan mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menghalang usaha menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik.

Sarawak mendakwa ia berhak mengenakan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum. (Gambar Reuters)
KUCHING:
Seorang penggubal undang-undang Sarawak membidas Putrajaya kerana melayan negeri itu seperti sebuah “koloni”.

Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata, jika Putrajaya jujur mahu mengembalikan status Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf, ia seharusnya memberi kepada negeri itu haknya seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Satu contoh ialah cukai jualan 5% ke atas produk petroleum yang gagal dibayar oleh Petronas. Kita terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah apabila kita cuba menuntutnya daripada Putrajaya berdasarkan peruntukan perlembagaan.

“Kita tidak pun meminta Putrajaya memenuhi janjinya untuk memberi 50% daripada semua cukai yang dikutip di Sarawak dan 20% royalti minyak kepada kerajaan negeri.

“Kita hanya meminta mereka mengembalikan hak Sarawak,” katanya di luar satu majlis forum bertajuk “Malaysia’s Future Prospects and Challenges” di sini semalam.

Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman mengingatkan Putrajaya bahawa kegagalan mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menghalang usaha menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan pusat, tanpa mengira perbezaan politik mereka, hendaklah bekerjasama untuk kebaikan rakyat dan negara.

Lukanisman juga berkata, terdapat kemungkinan Putrajaya akan membentangkan semula pindaan sama terhadap Perkara 1 (2) perlembagaan persekutuan yang tidak disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) April lepas.

Beliau berkata, Putrajaya tampak berkeras dengan keputusannya untuk membentangkan semula rang undang-undang yang sama, malah mendakwa pindaan itu disokong oleh Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Rang undang-undang asal itu, yang bertujuan memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf Malaya tewas selepas Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat sokongan majoriti 2/3 yang diperlukan.

Seramai 138 ahli Parlimen mengundi menyokong rang undang-undang itu, kurang 10 undi bagi mendapat majoriti 2/3. Lapan belas ahli Parlimen yang tidak mengundi termasuk daripada GPS.

GPS mencadangkan pindaannya sendiri selepas mendakwa “MA63” tidak disebut dalam perlembagaan.

Perubahan yang dicadangkan berbunyi: “Menurut Perjanjian Malaysia 1963, negeri-negeri dalam persekutuan adalah (a) Malaya (Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu), (b) negeri-negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak.”

Lukanisman merujuk kepada kepentingan meminda perkataan-perkataan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak rakan kongsi setaraf dengan Malaya.

Beliau berkata, jika tidak, janji untuk memulihkan status rakan kongsi setaraf itu hanyalah “kata-kata manis” Putrajaya.

“GPS bertegas dengan keputusannya supaya perkataan ‘mengikut Perjanjian Malaysia 1963’ dimasukkan ke dalam pindaan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.