Ibu 4 anak penghidap kanser temui ajal pada Hari Kanser Sedunia

Ibu 4 anak penghidap kanser temui ajal pada Hari Kanser Sedunia

Hasnita pergi pada Hari Kanser Sedunia, yang disambut pada 4 Februari setiap tahun, bagi meningkat kesedaran umum mengenai penyakit itu.

Hasnita Mohd Rosli bersama suami dan 4 anak mereka. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Ibu 4 anak, Hasnita Mohd Rosli, yang kisahnya menghadapi sejenis kanser yang jarang berlaku dipaparkan oleh FMT 2 tahun lepas, menemui ajalnya pada 4 Feb lepas. Beliau berusia 42 tahun.

Beliau meninggalkan suami, Adi Asral Abdul Rashid, anak perempuan mereka berusia 14 tahun, anak kembar lelaki 7 tahun dan anak lelaki bongsu 6 tahun.

Hasnita pergi pada Hari Kanser Sedunia, yang disambut pada 4 Februari setiap tahun bagi meningkat kesedaran umum mengenai penyakit itu.

Dalam satu temu bual dengan FMT pda Mac 2018, Hasnita yang sibuk dengan kerjaya yang berjaya dan kehidupan berkeluarga bercerita tentang perjuangannya menghadapi 2 serangan penyakit kanser.

Hasnita berkata, beliau temui lebih ramai kawan selepas didiagnosis menghidap kanser pada 2017 berbanding 20 tahun sebelum itu.

Perunding IT itu menghadapi serangan kedua sejenis kanser yang sangat jarang belaku yang merebak ke tulang beliau, menyebabkannya tidak boleh duduk lama kerana sakit yang amat sangat.

Beberapa bulan sebelum itu beliau disahkan pulih daripada “high grade neuroendocrine breast carcinoma” sejenis kanser yang menyerang hanya 0.3% penduduk dunia.

Hasnita bercerita bagaimana anak-anaknya terpaksa dipindahkan ke tempat lain sewaktu beliau menjalani rawatan selama 8 bulan, tetapi 6 bulan selepas kembali hidup bersama, beliau mendapat berita buruk bahawa dirinya menghidap kanser payudara Tahap 4 pula.

Katanya, beliau memperoleh kekuatan bagi menghadapi berita buruk itu dengan sokongan suami tercinta, anggota keluarga dan kawan rapat.

“Saya temui lebih ramai kawan dalam beberapa bulan ini berbanding 20 tahun sebelum ini.

“Selepas menghidap kanser, saya lebih dekat dengan Tuhan dan daripada menangis, saya melakukan perkara lebih penting yang memberikan saya ketenangan jiwa,” katanya kepada FMT.

Hasnita juga berkongsi kesedihan untuk meninggalkan anak-anak beliau yang masih kecil, yang pada masa itu hanya diberitahu bahawa “mummy sakit”.

“Saya masih tidak dapat membayangkan akan meninggalkan mereka. Saya perlu memikirkan cara bagaimana untuk mempersiapkan mereka apabila saya telah tiada.

“Saya harap mereka akan ingat bahawa ‘mummy’ sayang mereka, dan ‘mummy’ sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka, dan ‘mummy’ sentiasa berada dalam hati mereka. Penyokong mereka paling kuat.”

Semoga Tuhan menempatkan beliau dalam kalangan para salihin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.