Saham AirAsia naik selepas penjualan KWSP

Saham AirAsia naik selepas penjualan KWSP

Setakat 12.30 tengah hari tadi, saham AirAsia Group meningkat 5 sen kepada RM1.20, manakala AirAsiaX menokok 1 sen kepada 12.5 sen.

AirAsia sebelum ini menafikan dakwaan ia menerima rasuah AS$50 juta daripada Airbus.
KUALA LUMPUR:
Saham AirAsia Group dan AirAsiaX meningkat dalam dagangan aktif hari ini selepas merekodkan aliran menurun susulan laporan berita mendakwa syarikat penerbangan tambang rendah itu menerima rasuah AS$50 juta daripada pembuat pesawat, Airbus.

Peningkatan harga saham itu selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan menjual 7.92 juta saham AirAsia Group.

Dalam 2 kenyataan berasingan di Bursa Malaysia, dana persaraan itu menjual 7.43 juta saham AirAsia Group pada 28 Jan lalu dan tambahan 492,500 saham keesokannya.

KWSP masih memegang 210.4 juta saham yang mewakili 6.29% kepentingan dalam syarikat itu selepas penjualan berkenaan.

Setakat 12.30 tengah hari tadi, saham AirAsia Group meningkat 5 sen atau 4.35% kepada RM1.20 dengan 140.10 juta saham bertukar tangan, manakala AirAsiaX menokok 1 sen atau 8.7% kepada 12.5 sen dengan 26.07 juta saham diniagakan.

AirAsia menafikan dakwaan ia menerima rasuah daripada Airbus.

Dalam kenyataan semalam, Kamarudin Meranun dan Tony Fernandes mendakwa AirAsia tidak pernah dihubungi walaupun sekali oleh Pejabat Kesalahan Berat (SFO) United Kingdom sepanjang siasatan selama 4 tahun berhubung skandal Airbus itu untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

Mereka berkata, ini merupakan pelanggaran jelas ke atas prinsip perundangan asas bagi kesaksamaan dan akses kepada keadilan.

“Kami menafikan semua dakwaan salah laku atas peranan kami sebagai eksekutif dan pengarah di AirAsia,” kata mereka.

Isnin lalu, kedua-duanya mengumumkan pelepasan jawatan eksekutif masing-masing dalam kumpulan itu serta-merta, susulan siasatan pihak berkuasa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Devanesan Evanson dilaporkan menggesa Kamaruddin dan Fernandes melepaskan jawatan dalam lembaga pengarah syarikat penerbangan tambang rendah itu sementara siasatan dijalankan.

Beliau berkata, situasi itu boleh menimbulkan keadaan tidak senang dan ketegangan di peringkat lembaga pengarah kerana mereka masih ahli lembaga pengarah syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.