Memahami cabaran dihadapi Imran Khan

Memahami cabaran dihadapi Imran Khan

Imran Khan yang mewarisi kepimpinan pincang berdekad Pakistan tidak melalui jalan mudah.

Malam tadi, Imran Khan tiba di Kuala Lumpur untuk lawatan rasmi keduanya sejak menjadi perdana menteri Pakistan pada Ogos 2018. Ia juga lawatan ke Malaysia pasca Sidang Kemuncak KL lebih sebulan lalu yang menyaksikan Imran terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir yang khabarnya akibat tekanan negara tertentu.

Politik Pakistan tidak semudah negara membangun yang lain.

Sebagai negara yang mempunyai umat Islam kedua terbesar di dunia, iaitu sekitar 200 juta orang selepas Indonesia, Pakistan pernah menjadi pangkalan hadapan kuasa dunia, khususnya dalam perang dingin antara Soviet Union dengan blok Barat diketuai Amerika Syarikat.

Di bawah pemerintahan Zia-ul-Haq dari 1978 hingga 1988 dan Benazir Bhutto 1988-1990 serta 1993-1996, Pakistan menjalin hubungan rapat dengan AS.

Negara tersebut membuka pintu kepada pejuang seluruh dunia untuk masuk ke Afghanistan melalui Peshawar dan beberapa pintu lain bagi melawan Soviet Union yang menduduki Afghanistan ketika itu.

Berada di perbatasan antara Afghanistan yang cuba dikuasai Soviet Union dan India yang ketika itu mirip ke kiri, Pakistan berjaya membangunkan senjata nuklearnya sendiri sejak 1972, setahun selepas ia kehilangan Pakistan Timur dalam peperangan yang akhirnya melahirkan Bangladesh.

Melalui agensi perisikan Pakistan ISI, pelbagai kelengkapan persenjataan diberikan AS untuk melawan Soviet Union di Afghanistan.

Namun, selepas berundurnya Soviet Union di Afghanistan pada 1989, Afghanistan diperintah mujahidin yang diketuai Presiden, Burhanuddin Rabbani dan Perdana Menteri, Gulbuddin Hekmatyar.

Walaupun mereka mendapat bantuan secara tidak langsung dari AS melalui Pakistan ketika melawan Soviet Union, kerajaan mujahidin itu bagaimanapun tidak tunduk kepada AS selepas menang.

Mereka mentadbir dengan menggabungkan 6 hingga 7 kumpulan mujahidin, namun ketidaksepakatan di antara kumpulan itu menyebabkan kerajaannya tidak stabil.

Menggunakan pelajar agama Afghanistan di maahad agama Pakistan, AS melalui ISI melatih mereka di samping membekalkan senjata.

Kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka Taliban ini masuk ke Afghanistan dan memerangi kerajaan mujahidin. Dengan kelengkapan persenjataan dan perpecahan sesama mujahidin, dalam masa singkat saja Taliban berjaya menguasai Afghanistan.

Namun, kumpulan Taliban ini juga memerintah bertentangan kehendak AS. Beberapa kumpulan mujahidin akhirnya bergabung bersama Taliban.

Lebih mendalam lagi, Taliban menjalin kerjasama rapat dengan Osama bin Laden, seorang warga Arab Saudi yang mengasaskan al-Qaeda selepas perang Afghanistan-Soviet.

Pada 2001, al-Qaeda dan Taliban dikaitkan dengan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York. Pentadbiran George Bush ketika itu mengisytiharkan perang terhadap Taliban dan Afghanistan.

Peperangan yang meragut ratusan ribu nyawa itu berlarutan hingga hari ini.

Pakistan menerima tempias secara langsung kerana gerakan Taliban dan al-Qaeda menjadikan wilayah bersempadanan dengan Afghanistan seperti Swat dan Abbotabat sebagai pangkalan mereka.

Bahkan pentadbiran awam di bawah kerajaan Pakistan tidak dapat bergerak di beberapa wilayah itu kerana ditadbir secara tidak langsung oleh Taliban.

Kemuncaknya, Osama dibunuh dalam satu serangan pasukan elit tentera laut AS di Abbotabat, Pakistan. Ia menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara kerana Pakistan tercabar dengan kemasukan dan operasi ketenteraan secara langsung tentera AS dalam wilayah Pakistan tanpa kebenaran mereka.

Pokoknya, Imran yang mewarisi kepimpinan pincang berdekad Pakistan tidak melalui jalan mudah. Negara yang mempunyai senjata nuklear dan persenjataan dibantu kuasa besar pada dekad lalu tidak akan dilepaskan begitu mudah untuk menjadi negara bebas sebagaimana dihasratkan.

Begitu juga cabaran gerakan radikalisme yang masih menguasai beberapa kawasan dan menjadi pegangan sebahagian masyarakat menghambat reformasi bawaan Imran.

Di samping itu, jutaan pekerja Pakistan yang bekerja di Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar dan negara Barat mempengaruhi sebarang dasar luar Pakistan.

Tidak mudah menghukum Pakistan atas peristiwa tertentu saja tanpa melihat latar belakang negara tersebut.

Bagaimanapun, sesuatu sudah dimulakan, setidaknya usaha sama antara Malaysia, Pakistan dan Turki dalam memperkukuhkan media untuk melawan naratif Islamofobia bawaan Barat dan juga perkongsian kepakaran teknologi yang dimiliki negara tersebut.

Ia permulaan baik yang natijahnya akan dirasai generasi akan datang.

Dengan populasi Islam hampir 200 juta orang, Malaysia, Turki dan negara lain, termasuk Indonesia membentuk perkumpulan majoriti umat Islam di dunia.

Tambahan pula, jika digunakan tenaga pakar pelbagai bidang dari negara tersebut yang hari ini kebanyakannya berkhidmat dengan negara Barat, maka peningkatan kemajuan ekonomi, teknologi, kemakmuran dan keamanan negara itu akan bertambah pesat.

Yang kita harapkan bukannya lahirnya negara menakutkan, tetapi negara Islam yang disegani dan dihormati serta menjadi tauladan kepada negara yang sedang berperang hari ini.

Selamat datang Imran Khan ke Malaysia.

Mohd Nasaie Ismail ialah pegawai khas kepada Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.