Lebih 100 warga China dari Wuhan, Hubei dihalang masuk

Lebih 100 warga China dari Wuhan, Hubei dihalang masuk

Kemasukan mereka ditolak di pintu masuk laluan darat, udara, dan laut.

PETALING JAYA:
Lebih 100 warga China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei tidak dibenarkan masuk selepas kerajaan mengenakan larangan susulan kebimbangan mengenai wabak koronavirus, kata Muhyiddin Yassin.

Menteri dalam negeri itu berkata seramai 147 orang warga China tidak dibenarkan masuk dalam tempoh antara 27 Jan sehingga 3 Feb.

Menurut laporan yang dimuat naiknya di FB, kemasukan mereka ditolak di pintu masuk laluan darat, udara, dan laut, dengan bilangan tertinggi di pintu masuk Pelabuhan Klang iaitu seramai 33 orang pada 3 Feb dan 32 orang pada 29 Jan, dan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) iaitu 30 orang pada 28 Jan.

Kementerian Kesihatan memperkukuh saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa, termasuk menempatkan pengimbas haba bagi mengesan kehadiran mereka yang mempunyai gejala demam, sebagai langkah kesiapsiagaan menangani wabak koronavirus.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China hari ini melaporkan angka korban wabak itu di sana meningkat kepada 425 orang selepas 64 kematian baru dicatatkan semalam.

Ia juga melaporkan 3,235 kes baru positif koronavirus, menjadikan keseluruhan 20,438 kes disahkan setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan wabak koronavirus, yang disyaki berpunca daripada sebuah pasar menjual haiwan liar di Wuhan pada Disember lalu, sebagai darurat kesihatan global dengan kes dilaporkan di lebih 20 negara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.