
Gara-gara habitat koala diceroboh aktiviti penebangan hutan yang dilakukan secara berleluasa, beratus koala ditemui mati dan kira-kira 80 ekor lagi terpaksa dirawat akibat cedera dan kelaparan.
Menurut laporan BBC, ekoran kejadian itu, kerajaan Australia melalui Jabatan Alam Sekitar Victoria bertindak melancarkan siasatan besar-besaran.
Pengawal selia pemuliharaan negeri memaklumkan akan menyiasat insiden “sangat menyedihkan” itu yang berlaku di ladang pokok minyak kayu putih yang merupakan habitat penting koala berhampiran bandar pesisir Portland.
“Kami akan bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab jika siasatan ini mendapati ia berpunca daripada tindakan disengajakan oleh manusia. Penilaian kebajikan hidupan liar dan rawatan akan diteruskan oleh veterinar dan penjaga berkelayakan.
“Rancangan sedang dibuat untuk memindahkan baki koala yang terselamat,” jelas jabatan itu lagi.
Difahamkan, mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan denda maksimum di bawah undang-undang untuk melindungi hidupan liar di Australia.
Pertubuhan Alam Sekitar Friends of the Earth mendakwa aktiviti penebangan hutan yang digelar “pembunuhan beramai-ramai” ke atas spesies marsupial itu bermula pada Disember lalu.

Menurutnya, insiden itu hanya disedari orang ramai apabila penduduk tempatan menyaksikan timbunan bangkai koala sejak kebelakangan ini.
Seorang penduduk, Helen Oakley turut berkongsi rakaman kejadian itu di Facebook.
“Ibu dan anak-anak koala dibunuh tanpa perikemanusiaan. Australia sepatutnya malu dengan insiden ini. Kami perlukan bantuan,” tegasnya.
Sementara itu, Persatuan Produk Perhutanan Australia (AFPA) memberitahu kontraktor yang menjalankan projek menebang pokok minyak kayu putih di kawasan tersebut pada November lalu mematuhi peraturan perlindungan hidupan liar yang ditetapkan.

Kumpulan perlindungan haiwan Animal Australia dalam satu kenyataan pula mendakwa mereka sedang menyiasat beberapa pelanggaran yang dibuat.
Syarikat terbabit sepatutnya menggunakan alat pengesan untuk mengenal pasti koala yang masih berlindung dalam pokok minyak kayu putih tersebut. Langkah itu bagi memastikan haiwan tersebut boleh dikeluarkan dan dipindahkan dengan selamat.
Ia juga mengesahkan mereka telah menghantar pasukan ke lokasi itu untuk menyelamatkan koala lain dalam jumlah seberapa banyak yang mungkin.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]