Wabak H5N1: Malaysia tidak import haiwan hidup, produk dari Shaoyang

Wabak H5N1: Malaysia tidak import haiwan hidup, produk dari Shaoyang

Malaysia mengimport keratan ayam dari Liaocheng, Shangdong, yang terletak kira-kira 1,313 km dari Shaoyang, Hunan.

China melaporkan penularan H5N1 di sebuah ladang ternakan di bandar Shaoyang, Hunan, dengan kira-kira 4,500 daripada 7,859 ayam yang diternak dilaporkan mati akibat jangkitan virus tersebut. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Malaysia tidak mengimport haiwan hidup dan produk dari kawasan Shaoyang di wilayah Hunan, China, yang dilaporkan berlakunya wabak selsema burung H5N1, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, Malaysia mengimport keratan ayam dari loji pemprosesan ayam di Liaocheng, Shangdong, yang terletak kira-kira 1,313 km dari tempat kejadian.

Berdasarkan laporan media, China melaporkan penularan H5N1 di sebuah ladang ternakan di bandar Shaoyang, dengan kira-kira 4,500 daripada 7,859 ayam yang diternak di ladang itu dilaporkan mati akibat jangkitan virus itu.

Menurut Quaza Nizamuddin, pihak berkuasa China telah mengambil tindakan untuk mengawal penyakit berkenaan susulan laporan kes H5N1 itu.

Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sentiasa mengambil sampel keratan ayam yang dibawa masuk untuk diuji bagi penyakit H5N1, katanya.

“Setakat ini tiada sampel yang positif,” katanya.

Langkah berjaga-jaga juga akan ditingkatkan dan sampel akan diambil daripada setiap kosainmen untuk diuji, katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memantau keadaan dan berhubung dengan World Animal Health Organisation (OIE) untuk mengetahui status kedudukan sebenar dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.