
Ya, benar! Apa yang pengguna bayar sebenarnya ialah untuk kos ke atas pengendalian, senggaraan, penyediaan prasarana dan pengurusan untuk memproses dan menyalurkan air dari puncanya sehingga ke premis pengguna.
Kos operasi ini, termasuklah kos tenaga elektrik, gaji & faedah dan bahan kimia, adalah tinggi (dan ada yang sehingga melibatkan lebih 70% dari kos keseluruhan operasi syarikat bekalan air) dan meningkat dari masa ke masa.
Setiap pembangunan infra-struktur utiliti memerlukan kos pelaburan yang tinggi, dan pulangan (RoI) bergantung pada kadar caj yang dikenakan, perihal pendapatan kumulatif tahunan, industri perkhidmatan bekalan air dan pembetungan berada dalam kedudukan terbawah berbanding tenaga dan telekomunikasi.
Walapun bahan mentah asalnya percuma, tetapi kos pelaburan yang tinggi dan RoI yang mengambil masa yang lama menyebabkan mutu perkhidmatan bekalan air tertinggal berbanding utiliti lain.
“Vicious cycle”
Rajah 1: ‘Vicious Cycle’ ialah kitaran negatif yang menjadi antara penghalang peningkatan mutu perkhidmatan bekalan air:

Masih terdapat lagi segolongan pengguna, dan ditambah oleh pengaruh politik yang tidak membina, yang terperangkap di mana mereka tidak menyokong semakan tarif kerana mutu perkhidmatan yang kurang memuaskan.
Maka sejak sekian masa, ‘vicious cycle – jangan naikan tarif selagi mana mutu perkhidmatan tidak dipertingkatkan’ menguasai dan menjejaskan mutu perkhidmatan.
Sebagaimana paparan di Rajah 1, tanpa dana yang mencukupi untuk membuat bayaran balik, malah waima ada yang tidak cukup untuk menampung kos operasi yang asas, pihak Operator Bekalan Air menghadapi kitaran negatif ini sehingga menjejaskan mutu
perkhidmatan dan Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan ke atas mereka.
Semakin lama kitaran negatif ini berlaku, aset akan semakin usang dan keupayaan kemudahan perkhidmatan akan berkurang dalam relatif permintaan semasa yang semakin bertambah setiap tahun.
Semakan tarif secara berkala serta komitmen politik dari kerajaan-kerajaan negeri dalam memastikan ‘Vicious Cycle’ ini dihentikan, akan berupaya membantu Operator Bekalan Air meningkatkan mutu perkhidmatan pada pengguna, dan meningkatkan lagi daya saing ekonomi negara di kalangan pelabur luar negara.
Semakan tarif boleh menjadi satu alergi politik bagi kebanyakan kerajaan negeri, walhal, jika dinilai secara rasional dari ufuk yang lebih luas, ia sebenarnya merupakan Allegra yang mustajab untuk meningkatkan sosio ekonomi di negeri berkenaan.
Kitaran ini mesti dihentikan dan diubah ke kitaran positif yang dinamakan ‘Virtuous Cycle’ sebagaimana di dalam Rajah 2 di bawah.
“Virtuous cycle”
Rajah 2: ‘Virtuous Cycle’ ialah kitaran positif yang sewajarnya berlaku untuk
meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air:

Mekanisme Semakan Tarif perlu dibuat secara berkala utuk memastikan kos yang dialami oleh Operator Bekalan Air adalah relevan, dan mereka mampu untuk membayar semula pembiayaan menaiktaraf aset dan kemudahan-kemudahan perkhidmatan bekalan air pada pengguna.
Dalam masa Kerajaan Pusat menumpukan peruntukan untuk menyediakan kemudahan bekalan air di kawasan-kawasan luar bandar, peranan kerajaan negeri dan Operator Bekalan Air untuk menambah-baik mutu perkhidmatan di kawasan operasi mereka perlu diberi perhatian yang selari dengan kehendak Lesen Individu yang diberikan.
Dua faktor penentu
Peningkatan mutu perkhidmatan bekalan air didominasi oleh sekurang-kurang dua faktor berikut:
1. Semakan tarif air secara berkala melalui mekanisme penetapan tarif yang tidak membebankan pengguna, dan
2. Komitmen politik dari Kerajaan-kerajaan Negeri untuk mengubah dari ‘vicious cycle’ ke ‘virtuous cycle’ melalui persetujuan semakan tarif oleh Operator Bekalan Air masing-masing.
Jika pengguna sanggup bayar dengan kadar yang jauh lebih tinggi dalam mendapatkan perkhidmatan komunikasi dan tenaga elektrik, mengapa tidak berikan komitmen yang sama untuk mendapatkan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik?
Lagipun, air adalah kehidupan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.