
Beliau mengeluarkan satu kenyataan berikutan laporan mengenai keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki kurang upaya yang cuba menggantung diri di Terengganu pada 23 Dis tahun lepas.
Semalam seorang majistret menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan ke atas lelaki tersebut di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana percubaan bunuh diri.
Liew berkata, percubaan bunuh diri atau apa-apa bentuk perbuatan menyakiti diri sendiri adalah masalah kesihatan mental dan harus ditangani sewajarnya.
“Saya telah umumkan pada tahun lepas bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk memansuhkan perbuatan cuba membunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah. Kita tetap tegas memastikan ia akan di laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Berdasarkan tahap kemajuan pada masa ini dan tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri, saya berharap kita akan melihat pindaan ke atas Kanun Keseksaan bagi memansuhkan cubaan bunuh diri dibentangkan seawal pertengahan 2020.”
Liew berkata, Jabatan Peguam Negara kini aktif menyemak semula bagaimana langkah tidak menjadikan perbuatan cuba membunuh diri satu jenayah boleh ditangani sejarah holistik.
“Perlu wujud dahulu mekanisme mapan dan berkesan untuk membolehkan individu ini mengakses penjagaan kesihatan mental sebelum undang-undang cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah dimansuhkan.
“Butiran lanjut mekanisme ini serta cara operasinya masih dikaji pada masa ini.”
Dalam kenyataan berasingan, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menggesa peguam negara menyemak kes tersebut dan merujukkannya ke Mahkamah Tinggi.
Eric Paulsen, yang mewakili Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi (AICHR) juga bercakap mengenai isu ini dengan menulis di akaun Twitternya bahawa kes sedemikian tidak harus didakwa kerana ia tidak memberi kebaikan kepada mana-mana pihak.