Koronavirus, bukan setakat manusia tapi anjing juga dipakaikan topeng muka!

Koronavirus, bukan setakat manusia tapi anjing juga dipakaikan topeng muka!

Menurut peniaga online, jualan topeng muka untuk haiwan peliharaan meningkat 10 kali ganda berbanding sebelum ini.

Menurut WHO, tiada bukti menunjukkan anjing boleh dijangkiti koronavirus. (Sumber gambar: Zhou Tianxiao)

Penularan wabak novel koronavirus yang melanda China sehingga ke beberapa negara lain di dunia sehingga kini menyaksikan lebih 200 orang maut dan majoritinya rakyat negara itu meningkatkan langkah pencegahan, khususnya dengan memakai topeng muka.

Bukan sahaja manusia yang perlu pakai topeng bagi melindungi diri sendiri dan ahli keluarga, bahkan untuk haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing turut di berikan topeng muka.

Meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan tidak ada bukti yang mengaitkan haiwan peliharaan boleh dijangkiti wabak tersebut, tetapi jualan topeng untuk haiwan peliharaan tetap laris.

Menurut Metro UK, seorang peruncit dalam talian yang berpangkalan di Beijing berkata, dia mampu menjual 10 kali bilangan topeng khas untuk anjing setiap hari berbanding sebelumnya.

Zhou Tianxiao, 33, berkata dia memulakan perniagaan topeng muka anjing khusus di laman web e-dagang China pada tahun 2018 untuk membantu haiwan terhindar dari pencemaran udara.

Tetapi sejak wabak koronavirus mula menyerang sejak bulan lalu di Wuhan, dia mendapati jumlah jualannya melonjak dengan sekurang-kurangnya mencatatkan jualan 50 keping sehari.

“Tujuan utama mereka membeli topeng untuk haiwan mereka adalah untuk menghalang asap, menghalang anjing daripada makan atau menjilat makanan di lantai dan mencegah mereka daripada terdedah kepada virus,” katanya.

Sementara itu Profesor Li Lanjuan dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata pemilik haiwan peliharaan tetap perlu mengambil langkah pencegahan terhadap haiwan peliharaan mereka kerana wabak itu boleh “merebak antara mamalia”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.