
Hanya kerana dianggap sebagai ahli sihir, seorang wanita yang mempunyai 31 jari tangan dan kaki bertindak menyembunyikan diri daripada orang ramai dan tidak bercampur dengan sesiapa.
Kumari Nayak, 63 hanya menghabiskan masa berkurung di dalam rumah kerana malu dengan penyakit yang dihidapinya itu, iaitu polidaktil, sejenis penyakit yang memiliki banyak jari daripada normal.
Menurut Metro.co.uk, bagaimanapun, warga emas tersebut yang memiliki 19 jari kaki dan 12 jari tangan tersenarai dalam Guinness World Records sebagai individu memiliki jari paling banyak.
Dalam pada itu, Nayak yang berasal dari Odisha, India berkata, keadaan dirinya itu menjejaskan kehidupan hariannya sehingga mengambil keputusan untuk berkurung di dalam rumah sepanjang masa.
Menurutnya, dia tidak mempunyai wang untuk menjalani rawatan menyebabkan jirannya menggelar ahli sihir kerana keadaannya itu.
“Saya sudah menderita penyakit ini selama 63 tahun. Jiran-jiran percaya saya ahli sihir dan sering menjauhkan diri daripada saya dan tidak pernah mengambil berat tentang saya.
“Akibatnya saya terpaksa berkurung di dalam rumah kerana dilayan teruk oleh orang sekeliling dan saya akan berasa lebih tenang (di dalam rumah) berbanding ketika berada di luar,” katanya.

Sementara itu, salah seorang jirannya yang tidak mahu dikenali berkata, tindakan tersebut dilakukan oleh penduduk kampung kerana mereka amat mempercayai perkara karut dan tahyul.
“Saya tahu dia mempunyai masalah perubatan dan tiada kaitan dengan apa yang orang lain percaya kepadanya. Saya berasa sangat sedih kerana dia tidak mampu untuk merawat dirinya,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]