
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan menandatangani perjanjian untuk melantik perunding bagi projek Gurney Wharf pada Februari.
“Selepas itu, akan ada kontrak, tender akan dibuka untuk melantik kontraktor menanam pokok dan merancang landskap serta memastikan projek persisiran itu siap dalam tempoh 18 bulan akan datang.
“Kami berharap menjelang 2021, bukan hanya penduduk dari Pulau Tikus, tetapi juga rakyat Pulau Pinang akan dapat menikmati kawasan persisiran baharu di Gurney Wharf.
“Ini adalah seiring dengan wawasan kerajaan negeri untuk menjadi negeri hijau dan pintar yang boleh memberi inspirasi kepada negara,” kata Chow dalam ucapannya semasa majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Tikus di sini, hari ini.
Gurney Wharf, projek taman awam di kawasan persisiran baru adalah inisiatif kerajaan negeri dan konsep pelan induk bagi projek ini dibuat oleh Grant Associates, iaitu sebuah firma jurutera perunding antarabangsa yang terlibat dalam pembangunan Garden’s by the
Bay di Singapura, The Hive, Cambridge Accordia dan Bristol Harbour Site di United Kingdom.