
Ini didedahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad yang berkata, kementerian beliau mencadangkan supaya Nor Salwani Muhammad diberikan anugerah berikutan tindakannya mendedahkan salah guna kuasa.
“Kita mahu menunjukkan penghargaan atas tindakannya menyimpan laporan audit yang diarah supaya dihapuskan.
“Ini sebagai tanda KWP (Kementerian Wilayah Persekutuan) tolak apa-apa juga corak salah guna kuasa.
“Kalau ada mana-mana menteri salah, pegawai awam tidak boleh lindungi mereka,” katanya hari ini semasa acara sambutan Hari Wilayah di sini.
Salwani, yang merupakan pengarah di Jabatan Audit Negara, adalah antara 25 individu yang menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran “Datuk” hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menganugerahkan gelaran “Datuk” dan “Datuk Seri” kepada 188 individu pada satu majlis penganugerahan di Istana Melawati hari ini.
Ketika memberi keterangan semasa perbicaraan, Salwani berkata, beliau meletakkan satu pita rakaman di dalam kotak pensel pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, semasa mesyuarat Jabatan Audit Negara dengan ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa; CEO 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy dan beberapa pegawai kanan kerajaan lain.
Arul didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan audit tersebut.
Salwani berkata, beliau merupakan anggota pasukan audit 1MDB dan perlu mencatatkan minit mesyuarat itu, tetapi diminta meninggalkan bilik mesyuarat.
Bekas ketua audit negara, Ambrin Buang memberitahu mahkamah bahawa beliau meminta Salwani menyimpan satu-satunya salinan asal laporan audit 1MDB itu.