
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, ini bagi membantu siasatan polis dan usaha untuk mengesan individu lain yang terlibat sama dalam kekecohan itu.
“Saya memandang serius insiden provokasi dan ancaman yang dilakukan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman dalam program rapat umum Pemuda PPBM di Ulu Tiram, Johor semalam.
“Insiden tersebut dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan gagal menghormati undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden sekumpulan pemuda melakukan provokasi dan kekecohan pada perjumpaan Pemuda PPBM.
Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din dalam satu kenyataan berkata, kes itu akan disiasat secara telus, tegas, berintegriti dan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
Dalam kejadian malam semalam, kumpulan itu dilapor mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan serta mendesak Syed Saddiq keluar dari Johor ketika mengepung sebuah restoran di Ulu Tiram yang merupakan lokasi perjumpaan Pemuda PPBM itu dan turut dikunjungi pelanggan lain, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Syed Saddiq kemudiannya dilaporkan terpaksa memanjat pagar untuk keluar dari restoran itu, manakala yang lain cuba mengalihkan perhatian kumpulan kira-kira 200 individu terbabit.
Dalam pada itu, Hamid berkata, polis menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden tersebut secara telus, tegas dan berintegriti tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 153 Kanun Keseksaan berkait tindakan jahat mendatangkan bangkitan marah kepada seseorang yang mungkin menyebabkan rusuhan.
Hamid berkata, Seksyen 355 Kanun Keseksaan pula berkait menyerang atau menggunakkan kekerasan hendak menjatuhkan kehormatan seseorang.
“Seksyen 357 Kanun Keseksaan adalah perbuatan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah untuk cubaan mengurung orang secara salah.
“Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkait perbuatan menakutkan seseorang secara jenayah,” katanya.
Hamid menyeru semua pihak agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak dalam apa jua cara yang boleh menimbulkan provokasi sehingga tercetusnya ketidaktenteraman awam.
“Orang ramai juga diseru untuk tidak mempolitikkan insiden ini dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi,” katanya.