
Beliau berkata, ini bagi membawa mereka ke muka pengadilan dan mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali melakukan perkara yang mengganggu gugat keharmonian negara.
“Mana-mana pihak yang melakukan kekacauan akan dikenakan tindakan undang-undang.
“Saya memandang serius insiden yang berlaku semasa program Rapat Umum Armada Johor semalam yang dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden sekumpulan pemuda melakukan provokasi dan kekecohan pada perjumpaan Pemuda PPBM.
Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din dalam satu kenyataan berkata, kes itu
akan disiasat secara telus, tegas, berintegriti dan tanpa campur tangan daripada
mana-mana pihak.
Dalam kejadian malam semalam, kumpulan itu dilapor mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan serta mendesak Syed Saddiq keluar dari Johor ketika mengepung sebuah restoran di Ulu Tiram yang merupakan lokasi perjumpaan Pemuda PPBM itu dan turut dikunjungi pelanggan lain, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Syed Saddiq kemudiannya dilaporkan terpaksa memanjat pagar untuk keluar dari restoran itu, manakala yang lain cuba mengalihkan perhatian kumpulan kira-kira 200 individu terbabit.