‘Saloma Link’ ke KLCC antara projek dirancang di Kg Baru, kata Khalid

‘Saloma Link’ ke KLCC antara projek dirancang di Kg Baru, kata Khalid

Turut dirancang perkhidmatan pengangkutan awam, kediaman mampu milik, kawasan perniagaan, panggung warisan dan taman warisan.

KUALA LUMPUR:
Pelbagai projek pembangunan dirancang bagi membangunkan kawasan Kampung Baru supaya kelihatan lebih moden, tersusun dan cantik, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Katanya, masjid di Kampung Baru akan dijadikan tempat pusat pembangunan di mana di hadapan masjid itu akan diadakan taman warisan masyarakat Melayu seluas 9.6 hektar.

“Taman warisan ini berkonsepkan seperti Kampung Morten di Melaka tetapi lebih besar lagi. Dalam taman warisan ini terdapat rumah-rumah yang mempunyai seni bina Melayu dan 11 unit rumah yang sedia ada di Kampung Baru akan dipelihara dan diletakkan di dalam taman tersebut.

“Kini apa yang sedang dibina adalah satu jambatan jalan kaki moden yang dinamakan ‘Saloma Link’ yang akan dihiasi oleh lampu-lampu LED yang akan menghubungkan Kampung Baru dengan KLCC (Kuala Lumpur City Centre) dan hanya mengambil masa 15 minit jalan kaki sahaja bagi orang Kampung Baru yang mahu ke KLCC selepas ini,” katanya semasa temu bual Ruang Bicara di Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata taman warisan itu juga akan dibina sebuah panggung warisan yang akan mempertontonkan budaya masyarakat Melayu kepada orang ramai.

Katanya, lebih banyak kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam akan disediakan di kawasan kampung tersebut dan kerajaan juga akan menambah kediaman mampu milik serta kawasan perniagaan orang Melayu di Kampung Baru bagi menambah bilangan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur secara tersusun dan terancang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.