Kualiti air terawat di Malaysia selamat, SPAN nafi laporan

Kualiti air terawat di Malaysia selamat, SPAN nafi laporan

Terdahulu FMT memetik laporan kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, yang menasihati pelancong supaya mengelak minum air paip di 187 negara, termasuk Malaysia.

Menurut SPAN, kualiti air negara dikawal selia berpandukan ‘National Standard for Drinking Water Quality’ yang dikeluarkan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, kualiti air terawat dibekalkan kepada pengguna adalah selamat untuk kegunaan, sekali gus menafikan laporan bahawa Malaysia adalah antara negara yang tidak mempunyai bekalan air bersih.

SPAN berkata, kualiti air di negara ini dikawal selia berpandukan “National Standard for Drinking Water Quality” (NSDWQ) yang dikeluarkan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“NSDWQ sudah disediakan berasaskan garis panduan dan nasihat teknikal daripada World Health Organization (WHO) dan diguna pakai sejak tahun 1983.

“Kesemua operator bekalan air terawat di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan diwajibkan untuk mematuhi piawaian NSDWQ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, FMT memetik laporan kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), yang menasihati pelancong supaya mengelak minum air paip di 187 negara.

Antara negara yang disenaraikan adalah Turki, Maghribi, China, Rusia, India, Indonesia, Brazil, Argentina, Mexico, Kazakhstan, Ukraine, Afrika Selatan, Pakistan, Vietnam dan Thailand. Malaysia turut tersenarai dalam 187 negara itu.

SPAN berkata, antara parameter kesihatan dan keselamatan air terawat yang dipantau dengan teliti ialah kandungan bakteria E Coli, gabungan baki klorin dan E Coli, baki klorin, kekeruhan dan aluminium.

Jelasnya, majoriti sumber air mentah diperoleh daripada air permukaan, iaitu sungai dan empangan. Bahkan, operator air perlu mematuhi piawaian air terawat terkandung dalam NSDWQ semasa proses rawatan di loji, semasa agihan air hingga ke titik meter pengguna.

“Pemantauan kualiti air terawat juga dijalankan oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM melalui jabatan kesihatan di setiap daerah dan negeri.

“Berdasarkan kriteria NSDWQ, bekalan air di Malaysia adalah selamat untuk diminum daripada titik meter di setiap premis,” katanya.

SPAN bagaimanapun berkata, kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna boleh terjejas sekiranya timbul insiden luar jangka seperti paip pecah dan pencemaran sumber air mentah.

“Dalam situasi ini, operator air akan mengambil langkah kawalan dan pencegahan seperti menghentikan bekalan kepada pengguna.

“Selepas situasi dipulihkan, operator air akan melakukan kerja pembersihan dalam sistem agihan seperti tangki air dan paip komunikasi bagi memastikan bekalan air yang akan disalurkan mematuhi NSDWQ,” katanya.

Tegasnya, berdasarkan peruntukan Seksyen 4, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), hanya pihak yang mempunyai kebenaran SPAN sahaja boleh membekalkan air terawat melalui sistem perpaipan kepada orang awam.

“Tidak ada mana-mana pihak lain yang boleh membekalkan air terawat tanpa mendapat kebenaran daripada SPAN dan pihak tersebut juga perlu mematuhi piawaian NSDWQ,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.