Kotak topeng muka cetus kekecohan di depan konsulat China di Pulau Pinang

Kotak topeng muka cetus kekecohan di depan konsulat China di Pulau Pinang

Skuad pemusnah bom meletupkan 3 kotak topeng muka N95 di luar bangunan konsulat China.

Orang ramai berkumpul di luar bangunan konsulat China di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Tiga kotak yang ditinggalkan oleh sekumpulan 7 orang di luar konsulat China di Ayer Rajah di Pulau Tikus di sini hari ini mencetuskan kekecohan selepas skuad pemusnah bom meletupkan kotak tersebut kerana kebimbangan ia mungkin merupakan bahan letupan.

Insiden bermula kira-kira pukul 3 petang, apabila 2 lelaki berdiri di luar banglo konsulat berkenaan dengan membawa gegantung yang menyatakan sokongan kepada penduduk Wuhan dan Hubei diikuti dengan ucapan penuh semangat menyokong China.

Kumpulan itu meninggalkan 3 kotak topeng muka N95 di luar pintu masuk hadapan konsulat sebelum beredar.

Pegawai konsulat menghubungi 999 pada 3.20 petang berhubung kotak tersebut yang didakwa mencurigakan, menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pasukan Hazmat dan bomba di depan konsulat China.

Satu pasukan Hazmat daripada Jabatan Bomba kemudian tiba ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Berikutan itu, pasukan pemusnah bom polis bertindak meletupkan kotak berkenaan sebagai langkah keselamatan. Disahkan selepas itu, ia tidak mengandungi bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, kotak berkenaan memang merupakan kotak topeng muka.

Beliau berkata, kumpulan lelaki terbabit datang ke konsulat berkenaan bagi menunjukkan solidariti dengan rakyat China yang kini berdepan wabak koronavirus.

“Mereka berdiri di luar konsulat dan melaungkan slogan menyokong China. Mereka beredar selepas 30 minit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.