
“Ada juga golongan profesional yang gajinya mencecah RM7,000 ke atas turut bergelut untuk hidup di bandar kerana mereka kurang ilmu literasi kewangan.
“Mereka hadapi tekanan sosial apabila ada rakan-rakan lain menggunakan kereta mewah. Ada di antara mereka berbelanja sehingga RM3,500 sebulan membayar pinjaman kenderaan, mereka juga bergelut dan itu boleh dijadikan contoh miskin bandar. Inilah realiti yang berlaku,” katanya dalam forum “Konflik Pemilikan Hartanah” malam tadi.
Katanya, belia khususnya golongan B40 tidak perlu terburu-buru memiliki hartanah, khususnya rumah pertama, sebaliknya mereka perlu mempelajari selok-belok pengurusan kewangan dan hartanah terlebih dahulu.
“Kononnya jika lambat beli rumah, harga rumah akan semakin meningkat. Jangan risau kalau lambat beli rumah, cumanya kena berhati-hati. Buat graduan universiti yang baru tamat pengajian, tuntutlah juga ilmu literasi kewangan, bukannya perlu jadi akauntan, tetapi miliki asas pengurusan kewangan.
“Tidak ada orang yang mulakan kehidupannya secara senang, yang mulakan hidupnya senang adalah disebabkan bapanya orang kaya.”
Sementara itu, perunding hartanah Rahim & Co, Sulaiman Akhmady Mohd Saheh berkata, pengurusan kewangan yang baik ialah aspek penting bagi membolehkan rakyat, khususnya belia membeli rumah.
Beliau menasihatkan golongan muda supaya bijak menguruskan kewangan dan mengutamakan keperluan ketika berbelanja, bukannya mengikut trend semasa yang akan membantutkan kemampuan mereka dalam memiliki rumah.
“Belia kita sekarang ini, ada yang hendak membeli rumah tetapi tidak dapat kerana pinjaman di bank tidak lepas. Sebenarnya ramai juga belia dengan pendapatan yang mereka ada, mereka boleh dapatkan pinjaman di bank.
“Tetapi, ada sesetengah daripada mereka berbelanja dengan sewenang-wenangnya, tidak ada disiplin dalam menyimpan wang. Tengoklah, betapa ramainya anak muda yang memiliki telefon bimbit keluaran terbaru, tidak mengapa kalau beli dengan duit simpanan sendiri.
“Ada yang teruk, mereka buat pinjaman peribadi semata-mata untuk membeli telefon bimbit keluaran terkini, secara tidak langsung mereka menambahkan hutang mereka lagi.”
Katanya, selain inisiatif perumahan ditawarkan kerajaan negeri dan Putrajaya, belia perlu berusaha mengukuhkan kewangan supaya dapat membeli rumah.
“Tidak dinafikan rumah merupakan keperluan asas untuk manusia jadikan tempat berlindung, tetapi apakah kita perlu miliki rumah itu? Hak kita adalah untuk dapat tempat berlindung, tetapi adakah hak kita untuk memiliki rumah ini, disebabkan itu kita perlu berusaha,” katanya.