Putrajaya digesa contohi Bangladesh benar kanak-kanak pelarian belajar di sekolah

Putrajaya digesa contohi Bangladesh benar kanak-kanak pelarian belajar di sekolah

Tenaganita berkata pendidikan membolehkan kanak-kanak pelarian menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Bangladesh memberi akses pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya di kem pelarian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita menggesa Putrajaya mencontohi Bangladesh selepas Dhaka mengumumkan kanak-kanak Rohingya yang tinggal di kem pelarian akan dibenarkan menerima pendidikan formal.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata ini adalah penggera untuk kerajaan memandangkan populasi pelarian Bangladesh adalah 5 kali saiz Malaysia.

“Jika Bangladesh boleh melabur dalam menyokong pendidikan kepada kanak-kanak di sana, adalah memalukan jika kerajaan kita terus menafikan mereka di sini dengan membenarkan generasi kanak-kanak di Malaysia terus hidup dalam keadaan terawang-awang,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa Putrajaya untuk memberi akses sukatan pelajaran kebangsaan kepada kanak-kanak pelarian dengan mengintegrasikan mereka ke sekolah-sekolah tempatan, sambil menambah ia juga bagi mengelak perpecahan berterusan dalam masyarakat.

“Kerajaan terus menaruh harapan bahawa mereka akan dipulangkan atau ditempatkan semula dari negara ini, tetapi kenyataannya adalah mereka akan berada di sini selama bertahun-tahun akan datang,” katanya.

Das berkata pendidikan bukan sahaja hak asasi manusia yang penting, tetapi ia juga menyediakan platform kepada kanak-kanak pelaria membina semula kehidupan mereka dan mengubah keluarga mereka daripada kemiskinan.

Beliau menambah pendidikan juga membolehkan kanak-kanak ini menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Selain itu, mengintegrasikan pelarian ke dalam masyarakat Malaysia, walaupun hanya sebahagiannya, akan mengukuhkan nilai Malaysia dalam masyarakat yang harmoni di negara yang pelbagai kaum.”

Hasnah Hussin, sukarelawan dan ketua komuniti Rohingya di Tenaganita, bersetuju dengan gesaan Das, menegaskan bahawa peluang untuk pendidikan memberi kemampuan kepada kanak-kanak itu mengembangkan diri dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat mereka.

“Setahun yang lalu, kerajaan Malaysia memberi peluang kepada sebahagian daripada kami menerima pendidikan di sekolah awam tetapi kami tidak tahu kenapa mereka menghentikan pendaftaran kanak-kanak pelarian.

“Ia sangat memusnahkan harapan kebanyakan ibu bapa dan kanak-kanak,” katanya.

Pada 28 Jan, kerajaan Bangladesh dilaporkan memutuskan untuk membenarkan kanak-kanak yang tinggal di kem pelarian menerima pendidikan.

Sukatan pelajaran akan mengikut kurikulum pendidikan Myanmar, yang direka secara bersama oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Dhaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.