Elak rugi besar, India akan jual 100% Air India

Elak rugi besar, India akan jual 100% Air India

Pemilik baru perlu mengambil alih kira hutang kira-kira AS$ 8 bilion dan liabiliti Air India sebanyak AS$3.26 bilion.

Air India mempunyai rangkaian 42 destinasi antarabangsa dan 56 domestik. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Kerajaan India akan menjual 100% Air India untuk keluar daripada perniagaan yang mencatat kerugian besar.

Pembida mempunyai sehingga 17 Mac untuk mengemukakan tawaran masing-masing, menurut dokumen penjualan yang dikeluarkan pada Isnin.

Usaha kerajaan untuk menjual 76% kepentingan dalam syarikat penerbangan negara itu pada 2018 dihentikan setelah gagal menarik minat pelabur.

Ditubuhkan pada 1932, Air India mempunyai rangkaian 42 destinasi antarabangsa dan 56 domestik, dengan 13,629 petugas, termasuk 1,884 juruterbang dan 4,028 krew kabin, sehingga November tahun lepas.

Berdasarkan pelan pelupusan itu, kerajaan akan menjual sepenuhnya Air India dan syarikat penerbangan tambang rendah, Air India Express, bersama 50% kepentingan Air India dalam syarikat perkhidmatan kargo dan syarikat perkhidmatan pengurusan darat, Air India SATS Airport Services.

Pemilik baru perlu mengambil alih kira hutang kira-kira AS$ 8 bilion dan liabiliti Air India sebanyak AS$3.26 bilion.

Perniagaan lain kumpulan itu seperti Air India Engineering Services, Air India Air Transport Services, Airline Allied Services dan Hotel Corporation of India tidak terlibat dalam penjualan itu, dan akan dipindahkan menjadi syarikat berasingan yang dikenali sebagai Air India Assets Holding Limited.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.