
Naib Ketua Pemuda PKR, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata pemecatan seumpama ini tidak wajar kerana ia tidak melalui proses timbang tara yang sesuai dan demokratik.
“Mereka yang dipecat menang bertanding dan menerima surat pemecatan bertarikh Disember 2019 dan Januari 2020 yang dikeluarkan oleh setiausaha Pemuda PKR.
“Pihak kami membantah pelucutan jawatan 7 ahli Majlis Pimpinan Pemuda PKR seperti yang dinamakan oleh pihak setiausaha pemuda PKR dalam surat-surat berkenaan,” katanya kepada FMT di depan bangunan JPPM.
Pada 15 Jan lalu, Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razab mengeluarkan surat penyingkiran 7 ahli majlis pimpinannya kerana tidak hadir mesyuarat 6 kali berturut-turut tanpa alasan memuaskan.
Tujuh pemimpin itu ialah Nagarajan Kaniappan, Ahmad Khairul Mohamed Noor, Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz, Mohd Firdaus Yusoff, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Wan Mohamad Fitri Wan Abdul Rahim.
Nazree berkata laporan kepada JPPM ini mendapat sokongan 19 daripada 25 pimpinan Pemuda PKR termasuk beliau.
Antaranya, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham; Naib Ketua Pemuda PKR, Jestin Raj Savarimuthu; Exco Pemuda PKR, Ahmad Kusyairi Khalid; Sarawanan Selvarajoo; Ong Jing Cheng; Kamis Burhan; Mohd Faizal Mohd Yusak; Muhamad Saiful Bahari Sahari; Wan Mohamad Fitri Wan Abdul Rahim; Muhammad Arif Mukhtar; Athina Klaywa Sim; Ahmad Khairul Mohamad Noor; Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz; Nik Faris Syazwan Zainuzzaman; Mohd Firdaus Yusoff; Nagarajan Kaniappan; Mohd Izad Buqhary Kamri dan Mohd Khairul Anuar Azhan.
Nazree menambah sekumpulan pimpinan Pemuda PKR melampirkan akuan sumpah, laporan polis dan dokumen yang berkenaan bagi menerangkan maksud laporan itu dibuat kepada JPPM.
Beliau berkata pihaknya menegaskan Kongres Nasional Pemuda PKR 2019 perlu diadakan semula atas bukti-bukti yang disertakan.
“Kami mengambil pendirian untuk melaporkan perjalanan Kongres Nasional Pemuda PKR 2019 untuk diteliti oleh pihak JPPM.
“Kami juga meresa kesal dengan perjalanan Kongres Nasional Pemuda PKR yang boleh dipertikai dan tidak mencerminkan profesionalisme yang sebenar,” katanya.
Nazree juga berkata sekumpulan itu mengambil pendirian untuk menyeru kepimpinan tertinggi parti mengukuhkan muafakat kepimpinan dan tindakan atau usaha pelucutan jawatan serta pemecatan ahli tidak akan memberikan makna kepada proses tersebut.
“Kami juga memberikan sokongan dan menyatakan solidariti kepada Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dalam isu surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada beliau dan menolak sebarang usaha untuk melucutkan jawatan atau keanggotaan beliau,” katanya.
Permulaan Kongres Nasional Pemuda PKR pada Dis tahun lalu dicemari kekecohan ekoran sekumpulan ahlinya tidak dibenarkan masuk ke dewan persidangan yang sudah penuh.