Pasar Wuhan jual binatang eksotik tempat penularan Koronavirus?

Pasar Wuhan jual binatang eksotik tempat penularan Koronavirus?

Hasil kajian wabak Koronavirus mendapati ia berpunca daripada binatang eksotik yang dijual di pasar Wuhan.

Tidak habis lagi wabak virus Influenza, timbul pula wabak lain yang membimbangkan masyarakat di seluruh dunia iaitu Koronavirus.

Ia kecoh sejak 31 Disember 2019, di mana virus tersebut berasal daripada Wuhan, China, kini telah meragut 17 nyawa, sementara 450 lagi dijangkiti wabak tersebut.

Lebih mengejutkan, virus itu tersebar daripada ular berbisa dan berspesis “many-banded krait” di mana ia dijual di pasar yang terletak di Wuhan.

Lapor CNN, ular berkenaan yang juga dikenali dengan nama saintifiknya “Bungarus multicinctus” merupakan spesis ular elapid berbisa yang sering ditemui di selatan China dan Asia Tenggara.

Menurut laporan, para saintis di China telah mengambil sampel virus berkenaan daripada pesakit dan menentukan kod genetik virus itu menggunakan mikroskop.

Selain itu, ia juga telah dianalisis kod protein virus itu dan membandingkannya dengan beberapa kod protein haiwan lain seperti burung, ular, landak dan kelawar.

Penemuan mendapati bahawa kod protein pada 2019-nCoV (jenis koronavirus terkini) adalah paling serupa dengan apa yang ditemui dalam badan ular.

Berikutan itu, pegawai kesihatan China pada Rabu lalu telah mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini.

Ia kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

Wabak yang turut dikenali sebagai 2019-nCoV ini telah mula masuk ke negara-negara luar seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan.

Namun Selasa lalu, Amerika Syarikat dan Hong Kong mencatatkan kes pertama wabak ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.