
Dalam satu kenyataan, Muafakat berkata, sekiranya keluhan ibu bapa dan bekas pelajar MRSM itu benar, ia hanyalah kejadian terpencil yang berlaku di sekolah tersebut.
Tambahnya, Muafakat selaku badan yang memimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MRSM sentiasa bersedia untuk mewakili pihak itu menyampaikan sebarang aduan berhubung hal ehwal sekolah.
“Sewajarnya perkara ini dibawa ke pengetahuan Muafakat MRSM tersebut untuk remedi atau pembetulan, dan tidak menunggu sehingga peperiksaan SPM tamat baru dibangkitkan perkara tersebut,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, FMT melaporkan sekumpulan ibu bapa berasa tidak selesa dengan jadual harian anak mereka yang dikatakan terlalu banyak “aktiviti agama” di sebuah MRSM di Johor sehingga mengganggu prestasi pelajar.
Bagaimanapun, pengetua sekolah berkenaan yang enggan dinamakan menegaskan aktiviti yang terkandung di dalam rutin harian tersebut sudah dipersetujui pihak ibu bapa sejak sekian lama.
Dalam pada itu, berhubung dakwaan ibu bapa bahawa pelajar perempuan dipaksa memakai pakaian tertentu ketika beriadah dan melakukan aktiviti sukan, Muafakat berkata, dakwaan itu tidak benar kerana cara berpakaian yang memenuhi tuntutan kesopanan dan kesusilaan telah ditetapkan dalam buku perancangan tahunan pelajar.
“Tidak benar MRSM cuba berlebih-lebihan dalam mengajar pelajarnya cara berpakaian bagi maksud kesopanan dan kesusilaan,” katanya.