Selepas 18 jam, bomba masih bertempur dengan api di Bedong

Selepas 18 jam, bomba masih bertempur dengan api di Bedong

Angin kuat, cuaca kering, dan tekanan air rendah menyukarkan usaha pemadaman api di tapak pelupusan sampah berdekatan Semeling.

Seorang anggota bomba berdekatan api di tapak pelupusan sampah di Bedong pada 8 malam tadi. (Gambar Bomba)
SUNGAI PETANI:
Bomba bertempur dengan api selama lebih 18 jam bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Bedong sejak 3.30 petang semalam.

Angin kuat, cuaca kering dan tekanan air yang rendah menyukarkan kerja-kerja memadam api yang menjilat timbunan sampah di tapak pelupusan berdekatan Semeling.

Setakat 9 pagi tadi, timbunan sampah masih terbakar dan asap tebar menyelubungi kawasan itu.

Pada tengah malam, pasukan 50 anggota termasuk briged sukarelawan masih berhempas pulas memadam kebakaran.

Ketua Bomba Sungai Petani, Ismail Mohd Zain berkata sekurang-kurangnya 3 ekar daripada tanah seluas 10 ekar itu hangus.

Asap berkepul-kepul daripada timbunan sampah yang terbakar.

Beliau berkata kebanyakan sisa-sisa yang terbakar adalah plastik, yang merumitkan lagi kerja-kerja memadam api.

“Walaupun kebakaran terkawal, ia boleh terbakar sekali lagi apabila air ditutup kerana kebakaran berlaku dalam timbunan sampah,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah keadaan di kawasan terbabit sudah reda, tetapi pihaknya terus berwaspada sekiranya angin kuat.

Ismail berkata jentera bomba diarah untuk mengambil air dari sumber yang terletak berbatu-batu jauh dari kawasan kebakaran kerana tiada pili bomba berdekatan.

Exco Alam Sekitar Phee Boon Poh berkata briged sukarelawan bomba dari Butterworth sedang menuju ke Semeling, yang terletak kira-kira 40km dari situ.

“Kami sedang mendapatkan pemadam api jenis buih untuk memadamkan api. Kami juga sedang mencari kren-kren tambahan untuk membantu operasi ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.