Peguam inkues tahanan mati dalam lokap tuduh polis berbohong

Peguam inkues tahanan mati dalam lokap tuduh polis berbohong

M Visvanathan berkata keterangan saksi ke-24 yang terlibat pada hari kematian Benedict Thanilas bercanggah dengan keterangannya sebelum ini.

Ariffin Ismail (kiri), anggota polis yang bertugas di lokap Pusat Tahanan Jinjang pada 2017 yang merupakan saksi ke-24 inkues kematian Benedict Thanilas.
KUALA LUMPUR:
Peguam terlibat dalam inkues menyiasat punca kematian tahanan sewaktu ditahan di lokap pada 2017 menuduh saksi yang dipanggil pada hari ini berbohong semasa memberikan keterangan di Mahkamah Koroner.

Peguam M Visvanathan yang mewakili Janagi Nadarajah, iaitu isteri Benedict Thanilas berkata, keterangan saksi yang juga anggota polis yang terlibat pada hari kematian tahanan itu bercanggah dengan keterangannya sebelum ini.

“Saya cadangkan, kamu bukan merupakan anggota polis yang memberikan keterangan tepat di mahkamah. Keterangan kamu ini nampak sangat menegakkan benang yang basah.

“Saya cadangkan, keterangan kamu di mahkamah langsung tidak boleh diterima pakai,” kata Visvanathan kepada Ariffin Ismail, yang merupakan anggota polis bertugas di lokap Pusat Tahanan Jinjang pada 2017.

Benedict, 43, ditahan pada 29 Jun 2017 kerana disyaki mengedar dadah dan dia yang sepatutnya ditahan selama 60 hari, sudah disoal siasat selama 12 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Namun, Benedict ditemui tidak sedarkan diri dalam lokap di Pusat Tahanan Jinjang pada 10 Julai 2017, sebelum dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 6.06 pagi hari sama.

M Visvanathan, peguam yang mewakili isteri tahanan yang mati dalam lokap.

Dia yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan mempunyai masalah jantung, perlu mengambil 8 jenis ubat dan 4 suntikan insulin setiap hari.

Benedict pernah ditangkap pada 2016 dan dipenjara selama 2 bulan di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah memiliki dadah.

Visvanathan berkata, tuduhan terhadap Ariffin dibuat selepas saksi ke-24 itu memberikan kenyataan berbeza, seperti menyatakan kepada mahkamah bahawa dia menolong Benedict sewaktu lelaki berkenaan rebah di dalam lokap.

“Suspek (Benedict) tidak dimasukkan ke dalam kereta terus, suspek diletakkan di atas tanah. Rakaman dari CCTV bahawa kereta bergerak tidak ada, suspek hanya diusung, diletakkan di bawah.

“Kemudian ada anggota lain menutup suspek dengan kain. Kalau orang itu bernyawa, kita akan terus masukkannya ke dalam kereta. Tetapi dalam rakaman CCTV tidak seperti dinyatakan dalam keterangan tuan (Ariffin),” katanya.

Ariffin bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu dan menyatakan dia sering membantu tahanan yang mempunyai masalah kesihatan, namun tidak boleh mengingati Benedict dengan jelas.

“Ramai sangat OKT yang sakit, saya tidak boleh gambarkan yang mana satu, yang mana saya angkat atau tidak. Kalau diikutkan seperti ditayangkan dalam CCTV, memang tidak ada. Tetapi memang saya tidak boleh bayangkan, sebab ramai OKT,” katanya.

Ketika ditanya apakah tindakan saksi dalam membantu Benedict, yang rebah secara tiba-tiba pada jam 5.13 pagi pada 10 Julai 2017, Ariffin memberitahu dia hanya melihat dan tidak memberikan bantuan kecemasan kerana bukan pakar.

“Saya bukan pakar, tidak beri (bantuan kecemasan). Saya hanya tengok (ketika ditanya adakah dia memeriksa nadi Benedict bagi memastikan lelaki berkenaan masih hidup atau tidak).

“Saya buat pemeriksaan melalui pandangan mata kasar sahaja. Saya takut hendak pegang kerana takut berjangkit, jadi tidak buat pemeriksaan di dada, tidak semak sama ada nadi masih bernafas atau tidak,” katanya.

Ariffin turut memberitahu bahawa Benedict masih hidup sewaktu diusung dan dibawa ke hospital, menafikan kenyataan doktor yang menyiasat kematian lelaki berkenaan yang mengatakan tahanan itu sudah meninggal dunia semasa dibawa ke hospital.

“Saya tidak setuju. Hal ini kerana pada hari kejadian saya dapat lihat pergerakan mata Benedict dan masih bernafas. Namun tidak pasti sama ada tangannya bergerak atau tidak,” katanya.

Ariffin bagaimanapun gagal membuktikan keterangannya mengenai perkara berkenaan, kerana langsung tidak mencatatkan situasi berkenaan pada buku diari harian miliknya.

Visvanathan turut membangkitkan mengenai perilaku Ariffin, yang menurutnya tidak mematuhi Perintah Tetap Ketua Lokap Berpusat Kuala Lumpur, apabila membawa tembakau dalam lokap, yang merupakan bahan dilarang semasa bertugas.

Perilaku Ariffin berjaya dirakam dalam rakaman CCTV, memperlihatkan dia membawa sebatang rokok yang masih tidak dinyalakan dalam sel tahanan dan menghisapnya di dalam perkarangan lokap.

“Saya tidak bekalkan apa-apa untuk OKT, ia hanyalah untuk saya. Saya adalah perokok tegar, saya hisap di luar kawasan, bukan di dalam sel sementara. Saya membawanya untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Perintah Tetap Ketua Lokap Berpusat Kuala Lumpur dalam perkara 7 menyatakan anggota bertugas dilarang membawa apa-apa bahan larangan semasa bertugas atau membekalkan kepada OKT seperti tembakau, senjata api, dan alat perhubungan.

Inkues tegang

Semasa inkues baru sahaja bermula, timbul ketegangan antara Visvanathan dan Ariffin sehingga Hakim Koroner, Mahyon Talib terpaksa menangguhkan sementara sesi inkues lebih 10 minit.

Perkara berkenaan berlaku apabila Visvanathan meminta Ariffin memberikan jawapan sama ada dia membuat rondaan pada setiap setengah jam, seperti termaktub dalam Perkara 29 dalam Perintah Tetap Ketua Lokap Berpusat Kuala Lumpur.

“Kamu dengar arahan. Saya akan buat laporan mengenai kamu, bahawa kamu tidak ingin memberikan kerjasama dalam mahkamah. Saya hanya bertanya adakah kamu buat rondaaan pada setiap setengah jam atau tidak?” soal Visvanathan.

Semasa inkues bersambung, Mahyon turut memberi amaran kepada Ariffin untuk menjawab setiap pertanyaan yang diajukan dan memberikan jawapan jelas.

“Kalau masih berlaku pertelingkahan, saya akan call off sesi hari ini. Jawab apa yang ditanya, apa yang kamu lakukan ada dalam rakam video (CCTV). Benda sudah berlaku perkara ini,” kata Mahyon.

Inkues menentukan punca kematian Benedict akan bersambung pada 24 Feb depan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur dengan beberapa saksi lain dalam kalangan anggota polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.