SKMM: Tender jalur spektrum 5G dibuka April

SKMM: Tender jalur spektrum 5G dibuka April

Menurut SKMM spektrum 700 MHz dan 3.5Ghz akan diperuntukkan kepada satu konsortium, bukannya kepada pemegang lesen individu.

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak berkata, bagi jalur gelombang milimeter 26/28GHz syarikat berminat boleh mula mengemukakan cadangan masing-masing juga pada Apr ini. (Gambar Bernama)
LANGKAWI:
Tender bagi jalur spektrum 700 MHz dan 3.5 GHz teknologi mudah alih generasi kelima (5G) akan dibuka pada Apr depan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak berkata, spektrum 700 MHz dan 3.5Ghz berkenaan akan diperuntukkan kepada satu konsortium yang terdiri daripada beberapa pemegang lesen dan bukannya kepada pemegang lesen individu.

Beliau berkata, bagi jalur gelombang milimeter 26/28GHz syarikat berminat boleh mula mengemukakan cadangan masing-masing juga pada Apr ini.

“Kita akan serahkan jalur gelombang milimeter ini kepada bukan pemegang lesen (bukan syarikat telekomunikasi).

“Sebagai contoh, kilang yang memerlukan 5G, tidak perlu memanggil syarikat telekomunikasi kerana mereka sebaliknya boleh menggunakan rangkaian gelombang milimeter tersebut,” katanya.

Menurut Al-Ishsal, rangkaian gelombang milimeter juga sesuai bagi jarak penggunaan dalam lingkungan 200-300 meter yang dapat membantu industri meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Mereka bukannya memberi perkhidmatan kepada rakyat kerana tidak mempunyai lesen (berkaitan). Bagaimanapun bagi penggunaan alat komunikasi seperti walkie-talkie, mereka perlu mendapatkan kebenaran SKMM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.