Kepatuhan gaji minimum diketahui akhir Feb, kata Kula Segaran

Kepatuhan gaji minimum diketahui akhir Feb, kata Kula Segaran

Pada 13 Jan, Kula Segaran berkata, gaji minimum RM1,200 akan dilaksanakan pada 1 Feb bagi pekerja di wilayah bandar utama.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.
IPOH:
Kepatuhan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan hanya akan diketahui pada akhir Feb ini, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Beliau berkata, ini kerana kadar berkenaan yang akan dilaksanakan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran akan berkuat kuasa pada 1 Feb dan kepatuhan majikan hanya dapat diketahui pada akhir bulan, iaitu semasa pembayaran gaji.

“Ia akan mula efektif pada 28 Feb atau 1 Mac, iaitu pada hari pembayaran gaji nanti. Jadi selepas itu baru kita tahu ia dipatuhi atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Cahaya Ilmu: Bantuan Pendidikan Pelajar di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan negeri di sini, hari ini.

Kula Segaran pada 13 Jan lepas berkata, gaji minimum RM1,200 akan dilaksanakan pada 1 Feb bagi pekerja di wilayah bandar utama bagi membantu mereka yang berdepan kos sara hidup yang tinggi, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Berhubung program hari ini, beliau berkata sebanyak 941 pelajar pelbagai peringkat umur daripada 452 keluarga di Perak menerima sumbangan bantuan kewangan membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM270,000.

Kula Segaran berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia itu merupakan usaha membantu meringankan beban pendidikan keluarga kurang berkemampuan selain menggalakkan mereka menabung dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.