
SEOUL: Empat pendaki rakyat Korea Selatan didapati hilang di kawasan pergunungan Himalaya di Nepal susulan insiden salji runtuh, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian luar Seoul pada Sabtu.
Insiden itu berlaku di laluan trekking Annapurna yang terkenal pada kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi (waktu tempatan) hari Jumaat, menurut kementerian tersebut.
Lima lagi pendaki daripada kumpulan sama berada dalam keadaan selamat.
Misi Korea Selatan di Nepal meminta pihak berkuasa tempatan mengaktifkan operasi pencarian di kawasan itu.
Keluarga pendaki yang hilang dimaklumkan mengenai insiden itu.
Kerajaan Korea Selatan akan menghantar satu pasukan kecemasan bagi menangani kes itu dan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada keluarga mangsa, menurut kenyataan tersebut.