Pulau Pinang senarai pendek 5 pasukan untuk reka bentuk projek tebus guna 3 pulau

Pulau Pinang senarai pendek 5 pasukan untuk reka bentuk projek tebus guna 3 pulau

Lima pasukan itu dipilih berdasarkan kemampuan dan pengalaman mereka dalam projek yang sama. Honorarium sebanyak AS$125,000 akan dibayar kepada setiap pasukan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (duduk 3 dari kiri) bergambar bersama wakil 5 syarikat yang disenarai pendek untuk mereka bentuk projek Pulau Selatan Pulau Pinang di Komtar, George Town hari ini.
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang menyenarai pendek 5 pasukan antarabangsa untuk mereka bentuk 3 pulau yang ditebus guna dalam projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) susulan pertandingan perancangan induk bernilai RM2.5 juta yang diadakan sejak Nov tahun lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, 5 pasukan itu, yang setiap satu terdiri daripada syarikat asing dengan rakan kongsi Malaysia, dipilih daripada satu senarai 27 syarikat daripada penyertaan asal 124 syarikat.

Beliau berkata, 5 pasukan itu dipilih berdasarkan kemampuan dan pengalaman mereka dalam projek yang sama. Honorarium sebanyak AS$125,000 (RM508,000) akan dibayar kepada setiap pasukan.

Pasukan tersebut ialah Bjarke Ingels Group (Denmark) dengan Hijjas Architects and Planners; Foster + Partners (UK) dengan GDP Architects Sdn Bhd; MVRDV (Belanda) dengan aLM Architects; Tekuma Frenchman Urban Design (AS) dengan Eowon Architects dan UN Studio (Belanda) dengan Architects 61 Sdn Bhd.

Satu reka bentuk akan dipilih bulan depan dan pasukan terbabit akan diberikan peluang sebagai “pereka bentuk utama pelan induk” 3 pulau berkeluasan 1,821 hektar itu.

Ia juga berpeluang mengemukakan cadangan nama pulau berkenaan, yang sehingga kini hanya dikenali secara kolektif sebagai Pulau Selatan Pulau Pinang berbanding Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) sebelum ini.

Pemenang juga akan membantu kerajaan negeri membuat keputusan tentang aktiviti yang wajar dijalankan di pulau berkenaan.

Kerajaan negeri mahu pulau A, yang terletak berdekatan dengan landasan lapangan terbang, dikhaskan untuk industri walaupun ketiga-tiga pulau akan mempunyai pembangunan bercampur.

Chow berkata, panel induk juri akan mula meneliti syor 5 pasukan itu awal bulan depan, dengan menambah bahawa beliau berharap mereka berjaya “menggarap sifat dan ciri majmuk dan unik Pulau Pinang”.

Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh Institut Arkitek Malaysia (Cawangan Utara) dan Lembaga Arkitek Malaysia.

Projek tebus guna PSI bernilai RM46 bilion akan membantu mendanai pengangkutan awam dan lebuh raya baru, dengan tanah yang ditebus guna dijual kepada pembida paling tinggi.

Projek berkenaan berukuran hampir 17 km persegi, dengan masing-masing pulau berukuran 9.3 km persegi, 4.45 km persegi dan 3.23 km persegi, dan terletak di luar pesisir pantai Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas. Ia telah mendapat kelulusan Putrajaya.

Projek terbabit akan dilaksanakan oleh SRS Consortium Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara Gamuda Bhd dengan firma pembangunan hartanah Pulau Pinang, Phoy Yen Holdings dan Ideal Property Develpment Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.