Pengguna marah gagal tebus RM30 e-kredit

Pengguna marah gagal tebus RM30 e-kredit

Sambutan luar biasa program e-tunai rakyat menyebabkan sistem tergendala.

Siapa yang tidak suka ganjaran percuma, apatah lagi ia merupakan subsidi kerajaan.

Pengguna aplikasi e-dompet yang berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM100,000 pada 2018, layak memohon RM30 melalui program e-tunai rakyat bermula semalam.

Kerajaan melalui Belanjawan 2020 memperuntukkan RM450 juta bagi program itu untuk menggalakkan rakyat menggunakan e-dompet dan platform pembayaran elektronik.

Walaupun sekadar RM30 dalam bentuk e-kredit, program itu mendapat sambutan luar biasa sehingga menyebabkan sistem tergendala.

Ada di kalangan pengguna yang menyuarakan kemarahan mereka melalui media sosial kerana berpendapat pengendali platform pembayaran digital sepatutnya bersiap sedia untuk menangani sebarang masalah yang mungkin timbul.

Kelvin Hou menyifatkan “ia sangat memalukan” kerana syarikat besar tidak boleh dan tidak bersedia menguruskan jumlah trafik yang tinggi.

Huh Cy dalam nada sinis mengucapkan terima kasih kerana membuang masa dan tenaga pengguna untuk terus mencuba, tetapi tidak mendapat RM30.

Keadaan beransur pulih beberapa jam kemudian dan orang ramai kembali menuntut RM30 di platform pembayaran digital.

Bagaimanapun, mereka perlu menunggu kerana tuntutan memerlukan masa sehingga 5 hari bekerja untuk diluluskan.

Selain e-kredit RM30, 3 platform pembayaran elektronik turut menawarkan hadiah kepada penggunanya.

Grab Pay menawarkan baucar tunai sehingga RM3,000 manakala Boost menyediakan hadiah wang tunai sehingga RM8,888.

Touch n Go eWallet pula menawarkan tambahan RM30 dalam bentuk pulangan e-kredit yang dibahagikan kepada 6 kali bagi setiap pembelian minimum RM20.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.