Jakim tak pernah haramkan perayaan bukan Islam, kata Mujahid

Jakim tak pernah haramkan perayaan bukan Islam, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Jakim hanya memberi pandangan mereka atas permintaan Kementerian Pendidikan berhubung perayaan Ponggal untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa serta guru Islam.

Mujahid Yusof Rawa menyalahkan Kementerian Pendidikan tidak menggunakan perkataan sewajarnya dalam surat pekeliling berhubung larangan untuk pelajar Islam menyertai pesta Ponggal.
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengharamkan sambutan mana-mana perayaan.

Beliau berkata demikian susulan surat pekeliling bertarikh 13 Jan lalu dikeluarkan Kementerian Pendidikan yang melarang pelajar Islam menyertai pesta Ponggal.

Mujahid berkata, Jakim hanya memberi pandangan mereka atas permintaan Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa serta guru Islam.

“Apabila ditanya, kami beri pandangan kami. Dalam pandangan yang kami berikan itu, kami menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk mereka jelaskan kepada pihak berkaitan dalam cara terbaik,” katanya selepas menerima cek RM100 juta daripada Kementerian Kewangan untuk menaik taraf sekolah agama, tahfiz dan pondok hari ini.

Beliau menyalahkan Kementerian Pendidikan kerana tidak menggunakan perkataan sewajarnya dalam pekeliling itu kerana isu melarang pelajar Islam menyertai perayaan kaum lain tidak pernah disebut dalam surat Jakim kepada Kementerian Pendidikan.

“Malah dalam surat kami, ia jelas menyatakan ada cara untuk menghadiri program itu bagi menghormati (masyarakat) berbilang budaya kita.

“Hos (Kementerian Pendidikan) patut lebih bijak memberitahu apa yang kami bincangkan, apabila kami memberi pandangan kami kepada mereka.”

Sementara itu, katanya, peruntukan RM100 juta yang diberikan kepada Jakim untuk menaik taraf sekolah tahfiz dan agama ialah kenaikan 50% daripada Belanjawan 2018.

Mujahid berkata, ia bukti komitmen berterusan kerajaan untuk menyokong sekolah agama dan tahfiz.

Bagaimanapun, sekolah itu perlu berdaftar dengan pihak berkuasa untuk menerima peruntukan berkenaan.

Terdapat 205 sekolah pondok, 1,206 sekolah tahfiz dan 1,880 sekolah agama kerajaan dan swasta yang sudah berdaftar setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.