3 kumpulan mohon celah saman isytihar sekolah vernakular haram

3 kumpulan mohon celah saman isytihar sekolah vernakular haram

Peguam T Gunaseelan berkata, kumpulan itu mahu menjadi pencelah kerana mereka turut terjejas dengan saman itu.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (kiri) bersama peguam Shaharudin Ali dan pasukan undang-undangnya.
KUALA LUMPUR:
Tiga kumpulan berasaskan bahasa memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman seorang peguam mencabar kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak mengikut berperlembagaan.

Peguam T Gunaseelan berkata, Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Cadangan pencelah itu perlu mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

“Tiga kumpulan mahu menjadi pencelah dalam notis usul itu kerana mereka ialah pihak yang terjejas,” kata Gunaseelan kepada FMT.

Pengurusan kes akan diadakan di depan timbalan pendaftar mahkamah esok, manakala permohonan kebenaran ditetapkan pada 12 Feb nanti.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang memfailkan permohonannya semula, memohon perisytiharan Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan bahasa Cina serta Tamil menjadi bahasa pengantar utama di sekolah vernakular, bertentangan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Khairul menamakan menteri pendidikan dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.

Pada 11 Nov lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran Khairul untuk kesnya didengar di mahkamah lebih tinggi.

Hakim Azahar Mohamed berkata, notis usul itu perlu difail dan didengar Mahkamah Tinggi.

Dua lagi kumpulan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) turut memfailkan permohonan sama untuk membatalkan Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan.

GPMS dan Mappim berkata, mereka menyokong bahasa ke-3 seperti Mandarin, Tamil, Arab dan Kadazan, serta bahasa lain seperti Jepun dan Korea diajar sebagai subjek bahasa, tetapi membantah ia menjadi bahasa pengantar utama di sekolah yang menerima dana kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.