Dr M sedia lepaskan jawatan jika 3 presiden parti PH setuju

Dr M sedia lepaskan jawatan jika 3 presiden parti PH setuju

Ia susulan desakan ahli Parlimen PKR yang menuntut satu tarikh jelas untuk peralihan kuasanya kepada Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan jika presiden parti dalam Pakatan Harapan (PH) memintanya berbuat demikian.

“Saya rasa ini akan diputuskan oleh 4 pemimpin dalam gabungan, sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, jika mereka mahu saya pergi, sekarang juga saya boleh pergi,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Mahathir berkata demikian menjawab desakan ahli Parlimen PKR yang menuntut satu tarikh jelas untuk peralihan kuasanya kepada Anwar Ibrahim, dengan mencadangkan peralihan dilakukan pada Mei 2020.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen memberikan sebab mengapa ia perlu segera dilaksanakan. Menurutnya dari segi ekonomi, kesamaran tarikh peralihan kuasa yang jelas menyebabkan pelabur menangguhkan pelaburan mereka.

Dari sudut dasar kerajaan, Wong Chen berpendapat sekiranya peralihan kuasa berlaku secepat mungkin, ia memberikan Anwar lebih masa melancarkan reformasi dijanjikan PH, yang secara tidak langsung membawa keuntungan politik untuk kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.

Namun Anwar sebelum ini berkata beliau dijangka mengambil alih jawatan itu daripada Mahathir pada tahun ini namun tidak pasti tarikh yang tepat.

Mengulas mengenai tugasnya sebagai pemangku menteri pendidikan, Mahathir memberitahu beliau ketika ini sedang berbincang dengan beberapa pegawai pendidikan untuk perbaiki sistem pendidikan Malaysia.

“Saya sekarang sudah dapat beberapa idea untuk apa yang dilakukan untuk perbaiki sistem pendidikan Malaysia. Kita dapati banyak perkara yang perlu kita kaji semula, sama ada baik atau tidak, kita dapati orang ramai biasanya membuat teguran dan kita akan ambil teguran mereka.

“Tujuan pendidikan adalah supaya apabila mereka membesar, boleh hidup sempurna, boleh cari makan, boleh bekerja, boleh jadi produktif bukan hanya orang yang hanya menanti-menanti dapat bantuan sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.