
Dalam kejadian kira-kira 4.40 pagi, van dipandu Bavan Nageswarau yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Norazam Khamis berkata pemandu van yang tersepit itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala keempat-empat penumpang cedera ringan.
Selain Momota, mereka yang cedera adalah Hirayama Yu; Morimoto Arkifuki serta pemain badminton England, William Thomas.
“Semua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.57 pagi.
Semalam, Momota daripada Jepun muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 selepas menewaskan Viktor Axelsen daripada Denmark di Axiata Arena. Berita dan butiran lanjut akan menyusul.
Momota patah hidung

Momota dilaporkan mengalami patah tulang hidung dan luka di bibir yang perlu dijahit dan beberapa kecederaan lain di bahagian muka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Ismadi Borhan, pada sidang media, selain memberitahu tentang kecederaan dialami Momota, berkata Hirayama mengalami kecederaan di muka dan kaki kanannya manakala Akifumi patah tangan.
Thomas mengalami kecederaan di kaki dan menerima 7 jahitan di kepala, katanya.
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut bergegas ke hospital untuk melawat mangsa yang cedera.
“Setakat ini keempat-empat mereka dalam keadaan stabil dan baik,” katanya dan menurutnya Momota “sepertimana kebiasaannya, berada dalam semangat juang tinggi”.
“Kami memantau mereka dengan rapi. Kami akan memastikan keempat-empat mereka mendapat rawatan terbaik. Kami berasa lega apabila mendapat tahu keadaan mereka stabil,” katanya.