Rouhani janji hukum pihak di sebalik tragedi pesawat Ukraine

Rouhani janji hukum pihak di sebalik tragedi pesawat Ukraine

Tehran mengakui pada Sabtu bahawa ia 'secara tidak sengaja' menembak jatuh pesawat Ukraine selepas pengendali peluru berpandunya tersalah anggap ia sebagai peluru berpandu jarak jauh.

Presiden Hassan Rouhani mengambil tanggungjawab atas tragedi menimpa pesawat Ukraine dn memohon maaf bagi pihak Iran. (Gambar AFP)
KIEV:
Presiden Iran Hassan Rouhani memberitahu rakan sejawatnya dari Ukraine bahawa phak bertanggungjawab ke atas kejadian menembak jatuh pesawat penumpang negara itu akan dibawa ke muka pengadilan, menurut sumber presiden Ukraine.

Rouhani memberitahu Volodymyr Zelensky bahawa “semua yang terlibat dalam nahas udara ini akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Pemimpin Iran itu “mengambil tanggungjawab penuh ke atas tragedi yang berlaku berikutan kesilapan anggota tentera di negara ini”, sekali gus mengemukakan permohonan maaf.

Zelensky meminta Tehran membenarkan mayat 11 rakyat Ukraine dibawa pulang “selewat-lewatnya pada 19 Jan” dan berkata, diplomat negara itu telah mengemukakan senarai langkah yang perlu diambil bagi “menyelesaikan isu pampasan”.

“Iran bersetuju dengan Ukraine berhubung isu ini,” kata kenyataan itu.

Selepas 3 hari menafikan ia bertanggungjawab, Tehran mengakui pada Sabtu bahawa ia “secara tidak sengaja” menembak jatuh pesawat itu selepas pengendali peluru berpandunya tersalah anggap ia sebagai peluru berpandu jarak jauh.

Dalam satu mesej yang dihantar ke Facebook sejurus selepas pengakuan Iran, Zelensky menuntut Tehran menjamin keadilan terlaksana dan pampasan dibayar.

Pesawat Boeng 737 milik Penerbangan Antarabangsa Ukraine (UIA) yang menuju Kiev terhempas di satu kawasan lapang sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran, awal pagi Rabu.

Insiden itu berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera yang menempatkan pasukan Amerika Syarikat di Iraq, sebagai tindak balas atas kematian jeneral Qasem Soleimani dalam serangan dron AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.