Menteri puji Pakistan pembeli minyak sawit paling dipercayai

Menteri puji Pakistan pembeli minyak sawit paling dipercayai

Menteri industri utama itu berkata, negara Islam itu antara destinasi pertama eksport untuk Malaysia.

Teresa Kok menemui Abdul Razak Dawood di luar Persidangan Minyak Makan Pakistan ke-5 di Karachi semalam.
PETALING JAYA:
Menteri Industri Utama, Teresa Kok memuji Pakistan antara pembeli minyak sawit Malaysia biasa dan paling boleh dipercayai kerana ia sangat bergantung kepada pengimportan komoditi itu.

Bercakap pada Persidangan Minyak Makan Pakistan ke-5 di Karachi semalam, katanya, minyak sawit mempunyai potensi eksport lebih besar ke Pakistan kerana pengeluaran minyak dan lemak di negara Islam itu hanya memenuhi 20% keperluan penggunaan.

Kementeriannya dalam satu kenyataan berkata, Pakistan amat bergantung kepada import untuk memenuhi peningkatan permintaan domestik dan penggunaan.

Minyak sawit digunakan secara meluas untuk pengeluaran minyak sapi dan merupakan bahan mentah pilihan bagi industri makanan di Pakistan, khasnya untuk menggoreng dan bahan konfeksioneri.

Katanya, permintaan meningkat pada kadar 4.5% setahun sejak 7 tahun lalu akibat peningkatan populasi, pendapatan dan perbelanjaan pengguna.

“Pakistan antara destinasi eksport pertama di mana Malaysia mempunyai pelaburan besar untuk simpanan dan penapisan minyak sawit mentah dan bertapis di tangki pelabuhan serta jeti kargo cecair khas untuk mengendalikan minyak sawit.”

Pakistan mengimport 1.16 juta tan metrik minyak sawit bernilai RM2.97 bilion dari Malaysia pada 2018.

Pada persidangan semalam, Kok turut menemui Abdul Razak Dawood yang juga penasihat kerajaan Pakistan bagi perdagangan, tekstil, perindustrian, pengeluaran dan pelaburan.

Mereka membincangkan isu membabitkan kepentingan umum kedua-dua negara, termasuk meningkatkan perdagangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.